Friday, February 25, 2005

WAWANCARA DENGAN HALELA MELAYU OKINAWA

1. Mohon izin dari Halela dan suami untuk wawancara ini kerana ramai yang ingin mengenali sdr dengan lebih dekat. Dan saya terus kepada soalan berikut;

Assalamualaikum Pak Latip,
Memandangkan kebanyakkan soalan2 yang ditujukan hanya untuk saya sahaja, maka suami saya (seorang yang low profil) mengatakan elok dirinya tidak dilibatkan.

(a) Apa kabar saudara dan keluarga di Okinawa?

Alhamdulillah, kami disini sihat dan berbahagia dengan kehidupan kami yang sederhana.

(b) Bagaiamana cuaca di Jepun sekarang?

Hari ini, 2 Muharram 1426 bersamaan tahun masihi 2005, Febuari 12, masuk awal musim bunga. Disana-sini terdapat bunga sakura mula menggembang. Cuaca masih sujuk dengan suhu antara 15c-20c dan mendung selalu.

2. Apa perasaan sdr apabila mendapat tahu saya hendak mewawancara? Kenapa sdr berpeluh dingin?

Saya telah diwawancarakan beberapa kali di Jepun mengenai kehidupan orang asing bermastautin di negara ini (malangnya dikeluarkan di media Jepun dalam bahasa Jepun!). Inilah pertama kali saya diwawancarakan dari Malaysia dan saya rasa tidak layak untuk diwawancarakan di laman esastera.
Saya berpeluh dingin sebab sebelum soalan wawancara dikemukakan, sdr telah memberi tahu yang sdr pulun 44 soalan untuk saya!

3. Siapa nama sebenar sdr?

Halela binti Abdul Razak dan panggilan orang Jepun untuk saya Kudaka Harera.

(b) Apakah nama suami dan anak-anak?

Suami saya bernama Tomohiro Kudaka Abdullah (53).
Anak sulung (p) bernama Minako Kudaka (21).
Anak kedua (p) bernama Ayumi Kudaka (19).
Anak ketiga (l) bernama Mohd. Tomohiro Kudaka (16).

(c) Apa pula panggilan jiran-jiran?

Jiran sebelah kiri keluarga Kamiya dan jiran sebelah kanan keluarga Kohagura.

(d) Dari mana datangnya nama Tomohiko dan Lelahiro?

Asalnya saya gunakan username Tomohiko (nama anak bongsu saya) di laman Community Zero/Haiku. Apabila anak saya mendapat tahu perkara ini, dia syorkan saya tukar kepada nama lain. Username baru saya Lelahiro ialah dari gabungan nama saya, Halela dan suami-Tomohiro (ini cadangan CikGu Hasimah).

(e) Adakah sdr ada nama selain dari itu?

Lelahiro nama rasmi saya di esastera.

4. Boleh ceritakan latar belakang saudara?
(a) Lahir dimana

Walaupun ayah saya dari Madras, India dan ibu saya dari Alor Gajah, Melaka, saya dan adik beradik dilahirkan di Singapura.

(b) Bersekolah di mana dan pencapaiannya.

Pengajian rendah saya di kampung Padang Sebang dan disambung di Singapura sampai ke kolej.

(c) Nama ayah dan ibu serta adik beradik.

Ayah saya Abdul Razak Marican (73) dan ibu bernama Jaharah (73).
Adik2 saya Halija, Habeeb Mohd. dan Hametha.

(d) Adakah mereka masih hidup?

Mereka masih sihat tetapi ibu saya mendapat penyakit yang tidak dapat diubati lagi sejak 8 tahun.

5.Boleh ceritakan sedikit mengenai kehidupan saudara pada zaman kanak-kanak? Apa kenangan bersama keluarga yang tak dapat dilupakan?

Saya dibesarkan oleh nenek di Padang Sebang, Alor Gajah masa kecil. Saya sebenarnya anak kampung, terjun mandi sungei, berdiri atas belakang kerbau musim membajak sawah, berpayung daun keladi dalam hujan, mandi hama padi masa menuai dan makan panggang belalang padi. Loghat negeri masih pekat dalam percakapan saya.
Saya dipindahkan ke Singapura untuk menyambung pelajaran tingkatan. Walaupun ayah saya selalu tidak bersama kami, tetapi waktu dia bersama kami, beliau selalu bawa kami berjalan2 di kebun bunga dan makan di kedai.

6. Boleh ceritakan kenapa saudara menetap di Jepun?

Suami saya rakyat Jepun, saya sebagai isteri setia harus bersamanya.

(a) Apakah saudara telah mendapat kerakyatan sebagai warga negara Jepun?

Taraf saya di Jepun hanya sebagai pemastautin tetap, tidak mungkin saya buangkan kerakyatan asli saya.

(b) Apakah saudara tidak bercadang menetap semula ke Malaysia?

Ada kemungkinan saya bercuti panjang di Malaysia tetapi saya tidak bercadang untuk menetap di Malaysia lagi.


7. Boleh perkenalkan siapa suami saudara?
(a) Nama dan usianya.

Namanya Tomohiro Kudaka Abdullah , 53 tahun.

(b) Perkerjaannya.

Sekarang dia berkerja dengan kerajaan Jepun di bahagian persaraan.

(c) Keluarganya?

Ayahnya Yukichi berumur 93 tahun masih sihat, ibunya meninggalkan dunia 14 tahun lepas, adik beradiknya 7 orang kesumuanya .

(d) Hobinya?

Dia selalu main golf, suka bercucuk tanam bunga dan sayur2an dan suka menjaga kucing.

(e) betulkah dia garang?.

Dia mendapat darah garang ini dari moyangnya yang bertaraf "samurai" masa pulau ini mempunyai Raja bertitah 600 tahun dahulu.

8. Boleh ceritakan bagaimana pertemuan pertama kali dengan suami saudara,

Saya berkerja sebagai kerani penjualan di syarikat swasta Jepun di Singapura. Dia dihantar ke syarikat ini sebagai jurutera.

perkenalan,

Kami berkenalan sebagai perkerja kaki-tangan syarikat ini.

percintaan

Dia mengenali semua ahli keluarga saya dan mesra dengan ibu saya. Dia selalu mengunjungi rumah saya tanpa dipelawa dan dari sini kami merasa mesra.

dan akhirnya membawa ke jinjang pelamin?

Kami tidak naik pelamin hanya bernikah di masjid sahaja.

9. Bagaimana penerimaan keluarga saudara terhadap suami?

Ibu saya sememangnya sudah mesra dengan dia. Tetapi ibu saya memberi syarat yang kami tidak boleh berpindah ke Jepun sesudah berumah tangga. Itulah dilemma kami.


Dan bagaimana pula penerimaan keluarga suami terhadap saudara?

Suami saya anak harapan keluarganya. Pada mulanya, suami saya bersuarakan pada ibunya untuk menikah dengan saya, seorang bukan berdarah Jepun dan Islam. Ibunya membantah perkahwinan kami. Itu juga menjadi dilemma kami. Tetapi kali kedua, suami saya bermohon dan berjaya mendapat keizinan ibunya.

10. Boleh ceritakan bagaimana saudara menyesuaikan diri di negeri orang?

Bersabar dengan segala undang2 ketat di negara ini.

(a)Apakah kenangan manis yang tidak dapat dilupakan?

Apabila saya diberitahu mengandung selepas bernikah 2 tahun.

(b) Ceritakan juga kenangan pahit jika ada.

Masa di Tokyo tahun 1983, jiran saya seorang surirumah, yang menuduh tapak kaki saya bising berlalu depan pintunya. Dia mengetuk pintu dan apabila saya buka, tiba2 dia hentam kepala saya dengan penyapu, saya dapat menggelak dari pukulan ini.

11. Berapa orang anak saudara? Boleh beritahu nama mereka pendidikan serta kerjaya mereka?

Anak sulung, Minako Kudaka (21) berkursus dalam bidang undang2 dan bahasa Inggeris di universiti kerajaan.

Anak kedua, Ayumi Kudaka (19) juga berkursus dibidang yang sama dan di universiti yang sama.

Anak bongsu, Tomohiko Kudaka (16) yang sekarang di tahun terakhir sekolah menengah.

12. Apakah bahasa harian sdr?

Saya lebih berbahasa Inggeris di rumah dan suami berbahasa Jepun dengan anak2.

Apakah suami dan anak-anak pandai bercakap bahasa Melayu?

Masa anak2 saya masih kecil lagi, suami pindah berkerja di Singapura dan Johore. Dalam 7 tahun ini, anak2 saya selalu bersama ibu dan keluarga adik2 saya. Mereka boleh bercakap perkataan yang senang2. Dalam masa ini juga suami saya didedahkan dengan masyarakat melayu dari pergaulannya dengan perkerja melayu.

13. Selalukah saudara pulang ke Malaysia?

Saya jarang pulang ke Malaysia dan Singapura. Tetapi kebelangan ini saya balik setahun sekali untuk menziarah ibu saya yang sakitnya bertambah berat.

Apabila pulang kenapa sdr menetap di kampung Kancong, Seremban, Negeri Sembilan, kenapa tidak di Melaka?

Saya rasa lebih sesuai tinggal dengan kakak sepupu saya di Kampung Kancong, jadi saya lebih lama di sana. Kalau di Padang Sebang, Melaka, saya tinggal di rumah ibu saya. Rumah itu berbentuk rumah Melaka, besar dan menakutkan sebab sudah berapa lama ibu saya tidak dudukan lagi.

14. Rumahku Syurgaku. Apa pendapat saudara?

Tiap2 isteri harus merasa apa yang saya rasakan, Rumahku Syurgaku.

Apakah sdr bahagia dengan kehidupan sekarang?

Saya pindah ke pulau ini selama 8 tahun dan rasa sesuai dengan keamanan dan harmoni sini.

15. Saudara minat bercucuk tanam. Selain untuk makanan keluarga sayuran itu juga untuk dijual. Boleh kongsi pengalaman saudara?

Suami saya yang minat bercucuk tanam, bukan saya. Dia menanam berbagai sayur yang bermusim dan apabila berlebihan, kami berikan pada kawan2. Kami tidak menjual sayur2 itu.

16. Apa hobi saudara?

Saya mempunyai banyak hobi, tak terkira banyaknya.

(a) Makanan kegemaran?

Saya tidak ada makanan kegemaran, asalkan halal, tolak batu dan kayu, semua saya makan.

(b) Adakah saudara ada pantang larang?

Saya tidak percaya dengan pantang larang tok-nenek moyang melayu.

16. Boleh ceritakan bagaimana saudara terlibat dengan esastera.com.

Saya dikenalkan dengan esastera oleh sdr Damahum atau yang lebih terkenal dengan panggilan MBA. Beliau rekemen supaya saya mendaftar ke laman esastera/haiku sebab beliau pentadbirnya masa itu dan baru merasmikan pembukaan laman itu.

(a) Apa perasaan saudara setelah menyertainya?

Baru2 menjadi ahli, saya rasa kaku dan tidak dapat menyusuaikan diri.

(b) Apa faedah yang sdr dapat setelah menyertainya?

Sekarang hampir 2 tahun, saya rasa taraf bahasa melayu saya bertambah bagus, dapat kenalan baru dan terhibur hati dengan lawak ahli2.

17. Sewaktu pulang ke Malaysia baru-baru ini saudara bertemu dengan beberapa orang kenalan di esastera. Antaranya Sri Diah, Hasimah dan Drirwan. Bagaimana perasaan sdr bila bertemu mereka? Boleh kongsi pengalaman tersebut?

Inilah rezeki yang Allah berkatkan saya, itu perasaan saya. Betapa gembiranya dan tidak boleh saya lupakan sehingga akhir hayat.
Saya tidak banyak berbual sebab sudah cukup kenal dengan mereka. Tetapi dalam diam saya cuba membuat "scanning" wajah mereka.

18. Saudara dilantik menjadi Administrator Haiku menggantikan saudara Damahum. Apakah saudara yang memohon atau Damahum yang mencadangkan atau tiba-tiba saudara mendapat perlantikan dari Drirwan?.

Sehari selepas Malam Hescom 2004, sdr Damahum membuat perbualan "chatting" di YM dengan saya. Kami berchatting agak lama dan saya dipersoalkan berbagai perkara darihal perhakiman haiku Hescom 2004. Akhir perbualan, sdr damahum menawarkan pentadbiran haiku pada saya dengan mengatakan beliau tidak boleh menumpukan sepenuh masa lagi untuk pentadbiran haiku dengan sebab kesibukan kerja dan tanggung-jawab lain.
Dengan niat untuk menolong beliau, saya menerima tawaran ini. Soal pertukaran pentadbiran haiku tidak melibatkan founder kita.

19. Apa perancangan saudara untuk memeriahkan lagi komuniti Haiku?

Komuniti Haiku masih baru lagi dan penulis haiku di komuniti ini belum banyak pendedahan dengan haiku2 peringkat antara bangsa dan haiku2 dari Jepun.
Penulis haiku tidak boleh memaksa ilham untuk berhaiku. Ilham menulis haiku datang secara spontan dengan pemandangan sekeliling. Dengan cara menawarkan hadiah, ilham haiku tidak menjadi spontan lagi dan kurang berkualiti.

(a) Apa kata pemenang haiku 2005 ditawarkan tiket percuma ke Jepun?

Bagus cadangan ini dan kalau founder setuju terpaksalah mencari sponsor untuk mendapatkan tiket percuma.

20. Apa pandangan saudara mengenai haiku yang ditulis oleh ahli-ahli esastera. (a) Boleh saudara sebutkan nama-nama mereka yang berpotenti sebagai hanjin?.

Memandangkan sajak Jepun, tanka dan haiku masih belum terkenal di Malaysia, saya rasa ahli2 esastera perlu diberi pendedahan pada bacaan sajak2 Jepun. Selagi pendedahan pada sajak2 Jepun tidak mencukupi, saya rasa susah bagi penulis2 melayu untuk memahami "Zat" sajak Jepun mahupun tanka atau haiku.
Saya rasa potensi pada penulisan haiku terdapat dari gulongan orang2 yang pernah berpengalaman rapat dengan orang2 Jepun dan pernah tinggal lama di tanah Jepun. Kenapa saya kata begini? Orang2 seperti ini mengenal adat dan budaya Jepun secara spontan. Dengan cara ini mereka dapat merasai perasaan dan pemikiran orang Jepun.
Tidak perlulah saya menyebut nama mereka disini.

21. Saudara dilantik menjadi pengadil haiku untuk hescom 2004. Bagaimana cara pengadilan saudara? Mungkin boleh dijadikan panduan oleh kami. Apa nasihat saudara kepada penulis haiku?

Saya amat berbangga apabila founder kita memilih saya sebagai hakim anugerah Hescom 2004. Pengadilan Haiku Hescom 2004 tidak susah sebab saya diberi 5 orang finalis untuk dihakimkan dalam kesemua penulis2 haiku. Antara 5 finalis itu, saya pilih 3 haiku yang baik dan dari pemilihan ini saya ambil 5 haiku yang terbaik sahaja.
Nasihat saya untuk penulis haiku ialah tulislah apa yang terpandang, perkara dari hal hari2an, memuji alam sekitar, jangan jadikan haiku sama seperti pantun dan puisi melayu.
Haiku ada peribadi tersendiri. Senryu atau sajak 5-7-5 juga seperti haiku tetapi boleh diisikan dengan nasihat, politik dan subjek lain.

22. Kabarnya saudara penggiat haiku di Jepun. Boleh ceritakan bagaimana timbulnya minat kepada haiku?. Apakah saudara minat menulis selain haiku?.

Saya selalu terbaca sajak2 Jepun di media. Saya mengenal haiku di buku2 sekolah anak saya. Anak2 saya mengulas haiku yang mereka belajar di sekolah. Saya memberi tumpuan punuh pada haiku apabila saya menjadi ahli CZ/haiku. Walaupun sudah mengenal haiku tetapi saya rasa amat susah untuk mengarang haiku dalam bahasa Melayu. Ini disebabkan keadaan saya yang bermastautin selama lebih 20 tahun di luar masyarakat melayu.
Saya menggambil cuti panjang dari menulis haiku tahun 2004 sebab berkursus gempak bahasa melayu semula.
Minat menulis memang ada pada diri saya sejak kecil lagi tetapi setakat ini saya masih belum bertaraf untuk menulis dalam bahasa melayu.

23. Kabarnya Haiku mendapat tempat yang baik di kalangan rakyat Jepun. Setakat yang saudara tahu apakah langkah-langkah yang mereka ambil untuk memelihara dan mempopularkan puisi tradisional ini?.

Haiku agak baru di dunia sajak Jepun, dikenalkan oleh Basho 600 tahun dahulu.
Tanka, juga sejenis sajak Jepun, lebih bersejarah dari haiku. Banyak kelab haiku ditubuhkan di merata tempat di Jepun, di balai raya, sekolah, dan kelab2 hobi.
Setahun sekali, media seperti televisyen, radio, akhbar, majalah membuat pertandingan haiku. Haiku yang ditandingkan dikenakan bayaran setiap satu. Duit bayaran ini digunakan untuk hadiah pemenang pertandingan.
Haiku juga diajar kepada murid sekolah rendah dan mereka digalakkan mengarang haiku.
Ternampak juga di depan sekolah atau bangunan2, haiku yang terkenal atau yang memberi semangat di ukir di batu atau papan tanda.
Pendik kata, di Jepun, haiku sememangnya disemaikan dalam kehidupan orang Jepun.

24. Di Komuniti Haiku ramai penulis yang aktif menyiarkan karya antaranya Dipinggiran, Haimarea, arisel, ep dan beberapa orang lagi. Apakah usaha sdr untuk meramaikan lagi penyumbang haiku?

Saya menambah ahli haiku di esastera dengan cara low profil. Saya bercerita tentang haiku pada peserta dari Malaysia yang berkursus di sini. Kalau terpandang pada papan haiku atau batu ukiran haiku, saya bacakan dan ulaskan haiku itu.
Saya dapat kenalan baru di blog saya dan selalu menceritakan tentang haiku. Mereka buat cubaan berhaiku dan mana yang bagus, saya minta mereka mendaftarkan diri dan masukan haiku mereka ke laman esastera.
Sudah ada beberapa ahli baru yang berjaya membuat haiku yang baik.

25. Selain esastera.com, apakah saudara juga menyertai laman web yang lain?

Tidak, saya setia pada satu sahaja.

Apa perbezaannya?

Saya tidak menjadi ahli haiku di laman web lain dan tidak tahu perbezaannya.

Apa cadangan sdr untuk memeriahkan lagi esastera?

Mendapat sumbangan yang baik dan karya yang bagus, sudah cukup memeriahkan laman haiku. Tidak perlu kemeriahan yang lain lagi.

25. Apakah ciri-ciri haiku yang baik menurut pandangan saudara?

Haiku yang baik perlu mengikut undang2 yang telah ditetapkan.
Haiku mempunyai 3 baris. Baris pertama=5 sukukata/ baris dua=7 sukukata/baris tiga=5 sukukata. Lebih dikenali sebagai haiku 5-7-5.
Perlu dimasukkan kata kigo atau kata musim, menceritakan pandangan penulis dan baris 3 memberi bayangan pada baris 1 dan 2. Baris 1 dan baris 2 tidak dipuisikan dan harus memberi gambar pandangan penulis.
Senryu juga sama seperti haiku tetapi lebih dikenal sebagai sajak 5-7-5. Senryu tidak perlu mengikut undang2 haiku, lebih bebas dari segi topik seperti politik, lawak, kehidupan dan ugama.

Boleh sertakan contoh?

Ini petikan dari buku "Haiku by children".
Pemenang anugerah JAL Foundation.

Watching the sunset/sitting on a grassy cliff/after father's death.
Penulis Ainslie Colless (12-p) dari Australia.

Pantai memanjang/alam sekitar tenang/penyu bertelur.
Penulis Moo Ying Xin (12-p) dari Malaysia.

Moon in the water/broken and broken again/but it is still there.
Penulis Gerald Chee (11-l) dari Singapore.

Autumn leaves falling/trees looking very empty/more raking for me.
Penulis Michael McKeown (12-l) dari Australia.

26. Adakah penulis haiku di Jepun mendapat penghormatan dari masyarakatnya?

Haiku mereka diulas oleh beberapa guru haiku dan dibukukan. Buku2 mereka dibuat promosi dan nama mereka dikenalkan bersama haiku yang ditulis. Penulis haiku dikenal sebagai orang elite, orang yang bersifat lembut dan orang yang memegang pada keamanan.

27. Adakah suami dan anak-anak mengetahui penglibatan saudara dengan esastera.com?

Anak2 saya membantu saya dengan ulasan haiku dan mencarikan buku2 haiku.

Apa pandangan mereka?.

Suami saya berpendapat haiku dari penulis melayu tidak setaraf dengan haiku dari penulis Jepun.

28. Boleh saudara buat ulasan mengenai sebuah haiku yang menang hescom 2004?. Mengapa saudara tertarik dengan haiku tersebut?.

"Gunung dan pohon" dari sdr Arisel BA mendapat anugerah pertama Hescom 2004.
Gunung dan pohon/padang hilang pintunya/ratap belalang.
"Gunung dan pohon" menjadi kata musim. "Padang hilang pintunya" ialah pandangan penulis. Pintu disini menandakan kelapangan antara dua bukit yang hilang disebabkan pertumbuhan yang lebat di musim panas. Dan baris tiga, "ratap belalang" menunjukkan kesusahan bagi binatang2 kecil untuk hidup di hutan selebat ini.
Haiku ini menarik perhatian saya sebab baris satu dan dua menunjukkan kata musim dan pandangan penulisnya dan baris tiga pula berputar pada emosi penulis.
Ciri2 haiku yang baik ada dalam haiku ini.

29. Beberapa soalan peribadi.

(a) Berapakah ketinggian sdr dan berapakah berat badan saudara.

Saya berdiri 1.66m dan berat badan saya mengikut musim. Musim panas 70kg dan musim sejuk 74kg.

(b) Berapa kali sehari sdr mandi?

Musim panas saya mandi sehari 3 kali dan musim sejuk saya mandi seminggu 3 kali!

(c) berapa kali seminggu sdr bersukan/bersenam?

Senaman berat seminggu sekali seperti mengangkat berat dan berenang, senaman ringan seberapa yang boleh.

(d) apakah buah-buahan yang sdr suka makan?

Angur hitam dari Jepun dan epal madu lebah Fuji.

(e) Para doktor menasihatkan kita supaya banyak minum air demi menjaga kesihatan sistem badan. Berapa gelas air sdr minum setiap hari?

8 gelas air masak. Saya tidak minum air manis dan tidak minum kopi. Saya lebih minum susu tairu.

30. Saya ada melihat beberapa keping gambar saudara. Tetapi gambar saudara yang memakai tudung dan baju kurung paling menarik. Adakah saudara memakai pakaian seperti itu apabila keluar rumah?

Baju kurung hanya untuk hari raya dan perkumpulan orang melayu. Lain dari ini saya memakai seluar jeans dan kain panjang.

Bagaimana pandangan masyarakat jepun bila saudara berpakaian sebegitu?

Saya selalu keluar seorang diri ke kedai. Orang Jepun selalu merenung saya, ada yang buat tenung sembunyi, tenung tajam, tenung miang dan tenung bingung. Tetapi mereka memberi kehormatan pada saya.

31. Sdr agak mesra dengan Saleha, Tintasukma, Alaieffa, Sri Diah, Hasimah dan ramai lagi.

(a) Apa pendapat saudara tentang mereka.

Semuanya peramah, dari segi peribadi sdr Saleha agak sensitif sedikit, sdr Tintasukma suka bermanja, sdr Alaieffa suka mengeratkan siratulrahim, sdr Sri Diah cekap dan amanah dan CikGu Hasimah selalu mengambil berat tentang ahli2 lain.

(b) Saya pernah mengusik sdr. Apakah sdr pernah kecil hati?

Setakat ini belum pernah lagi. Tetapi saya tabik hormat dengan sdr. Tidak mungkin sdr berkebolehan untuk memperkecilkan hati saya.

32. Kata orang, "tabiat" (habits) membentuk keperibadian seseorang.
(a) Apakah tabiat baik yang sedang sdr amalkan demi menjaga peribadi.

Percakapan dan perbuatan mesti iklas dari hati, jangan berjanji kalau tidak boleh ditepati, hormati orang lain kalau mahu diri dihormati dan menangkap mata pendengar apabila bercakap.

(b) Apakah tabiat baik yang hendak saudara amalkan tetapi belum berjaya lagi.

Bersabar dengan suami dan anak2.

(c) Apakah tabiat buruk yang sdr sedang amalkan yang sdr berasa perlu sdr dihentikan?

Mengadap pc ini berjam2!

33. Ramai ahli esastera masih solo. Contohnya sdr Saleha dan Nilamsuri. Ada pula yang masih bujang terlajak seperti Muhammad Zakir, sdr tak cuba rekemenkan teruna dan gadis jepun?

Saya boleh rekemenkan tetapi mereka belum Islam lagi. Kalau ingin mengajar Islam dan buat kerja dakwah dengan niat untuk berumah tangga, ini satu cabaran yang berpahala.

34. Apakah sdr mempunyai sebarang falsafah hidup tertentu yang sdr jadikan pegangan dalam melayari kehidupan sehari-hari?

Hidup sederhana, ikhlas dalam pergaulan, kesyukuran dan memberi bantuan seberapa yang terdaya.

35. Sdr nampaknya begitu minat dengan haiku.
(a) Tidakkah sdr berasa bahawa kegiatan itu menghabiskan masa dan wang sahaja?

Saya rasa bertanggung jawab untuk menyenangkan sesiapa yang berminat pada haiku, tanka dan lain2 sajak Jepun dengan cara membuat terjemahan atau penjelasan. Makanya ini satu usaha yang murni dan tidak sia2. Berkenaan dengan wang, tali internet di Jepun murah, buku2 untuk rujukan dan segala bacaan untuk haiku dan tanka boleh dipinjam di pepustakaan. Tidak ada masalah kewangan untk bersajak di Jepun.

(b) Apa faedah yang sdr harapkan daripada kegiatan itu.?

Sebenarnya menulis haiku yang baik, penulis perlu menikmati alam sekitar, rasa bersyukur dengan alam semula jadi, inilah yang saya suka tentang berhaiku. Saya lebih menghargai dan menikmati segala yang ada di alam ini.

36. Saya sendiri mengorbankan masa dan wang setiap bulan kerana melayari internet. Apakah nasihat sdr kepada saya dan teman-teman yang lain?.

Teruskan, apalah duit kalau tidak digunakan untuk kesenangan sendiri.
Lagi berusia, lagilah harus menaikkan taraf hidup setampil dengan teknologi baru. Jangan ketinggalan zaman dan harus menajamkan pemikiran.

37. Dari tulisan saudara pada papan nota esastera dan blog saya, termasuk emel yang sdr hantar, saya beranggapan sdr seorang yang agak tegas tetapi agak cerewet. Mungkinkah kerana budaya orang Jepun telah membentuk sikap sdr?

Saya tegas dari segi perbuatan dan kata. Tetapi jangan disalahkan ketegasan sebagai biadap. Tegas dan biadap sangat berlainan makna. Saya cerewet pada orang2 yang melanggar undang2, yang tidak mengambil berat pada kerja yang diamanahkan dan yang membuat kerja sambil leka.
Betul, budaya orang Jepun membentuk sikap diri ini.

38. Selain haiku apakah sdr minat melayari komuniti yang lain.

Komuniti lain juga menghiburkan saya.

(a) Apa pandangan sdr tentang cerpenis, novelis, mapan, sajak dan sajen?

Banyak penulis yang berbakat dan berpontensi di komuniti lain.

(b) Kenapa sdr tidak menulis genre tersebut?

Saya takut terpengaruh oleh puisi dan sajak melayu apabila menulis haiku.

39. Ini soalan umum: Jika sdr diberi RM1 juta apa yang akan sdr buat dengan wang itu?

Saya masukkan ke akaun mudarabah dan jika sudah bertambah, ingin membeli tanah dan bena sebuah masjid di pulau ini.

40. Ini satu lagi soalan umum:

(a) Pernahkan sdr ke luar negara? Jika pernah, bolehkah sdr ceritakan sedikit pengalaman.

Selama 20 tahun lebih saya tinggalkan kampung halaman, keluarga dan sahabat handai untuk merantau, mengikut rentak perkerjaan suami. Cerita pengalaman 20 tahun merantau tidak boleh dimasukkan dalam 2 baris sahaja.

(b) Jika sdr ditawarkan hadiah percutian percuma ke luar negara untuk dua orang, ke negara mana sdr hendak pergi dan mengapa. Siapa yang akan sdr bawa bersama?

Saya ingin ke New Zealand sebab jiran baik di Wales, U.K telah berpindah ke sana. Anak daranya sama sebaya dengan anak sulung saya dan mereka sangat rapat berkawan masa kecil.

41. Binatang apa yang paling sdr (a) suka, (b) benci, dan (c) takut.

Kucing paling saya suka. cacing menjijikkan. Ular paling saya takut.

42. Kalau sdr diberi peluang untk meminta sesuatu dari Esastera Enterprise, apa yang sdr hendak minta?. Dan kalau saya beri peluang sdr minta sesuatu dari saya apakah yang sdr minta?.

Saya mahukan esastera membukukan haiku2 yang ada. Juga saya ingin terjemahkan karangan2 tanka dan haiku dalam bhs melayu supaya penulis2 yang berminat dapat pendedahan yang cukup. Saya rasa sajak2 dari Jepun belum banyak diterjemahkan dalam bhs melayu lagi.
Saya ingin bantuan sdr untuk menterjemahkan sajak2 Jepun. Harapnya sdr sudi memberi bantuan.

43. Apakah nasihat sdr kepada saya dan warga esastera.com?.

Saya harap jangan ada perselisehan faham antara warga esastera dan jika ada yang tidak memuaskan hati, harap berbincang dengan iklas bukan dengan sindiran, kata sinis dan tuduhan kasar.

44. Bagaimana sebutan dalam bahasa Jepun ayat berikut?

(a) Terima kasih.
Domo arigatou/domo/arigatou.

(b) Jumpa lagi
Sore dewa mata/sore ja mata/ja mata/ja ne.

(c) Aku sayang padamu.
Ai shimasu/ai shitte iru/ai shitte imasu.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan wawancara ini dengan jujur dan berterus terang.

Abdul Latip Talib.
10. Februari. 2005.

Terima kasih kerana sudi mewawancara saya yang tidak layak ini.

Halela Abdul Razak.
12 Feb. 2005.

Wednesday, January 05, 2005

ARTIKEL


5. WACANA NOVEL REMAJA HADIAH SASTERA KUMPULAN UTUSAN

Pada 29 mei lalu bertempat di sebuah hotel di ibu kota telahberlansung Wacana Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan yang diucap sampaikan oleh Encik Mohamad Saleeh Rahamad dan Nor Azah Abd Aziz.
Di antara penulis yang hadir termasuk tiga pemenang kategori novel remaja iaitu Faisal Tehrani, pemenang tempat pertama dengan novelnya 1511H(KOMBAT), Nisah Haron pemenang tempat kedua dengan novelnya Mencari Locus Standi dan Siti Jasmina Ibrahim, pemenang tempat ketiga dengan novelnya Ombak Sfera Lotus.
Turut hadir ialah Amaruszati pemenang kategori cerpen, Mohd Hashim Osman pemenang kategori puisi dan beberapa penulis muda dan penulis veteran yang berminat menulis novel remaja.
Menurut puan Nor Azaz Aziz, progrem ini diadakan bukanlah bertujuan untuk memberi syarahan atau bimbingan penulisan novel remaja kepada peserta tetapi lebih kepada majlis perbincangan untuk menyalurkan maklumat sastera disamping memperkatakan novel-novel remaja yang telah memenangi hadiah sastera utusan.
Pada sesi pertama sebelah pagi, Encik Mohamad Saleeh Rahamad yang juga salah seorang panel hakim HSKU memperkatakan mengenai Mekanisme Penulisan.
Menurut beliau setiap penulis mesti melengkapkan diri dengan ilmu bahasa kerana mereka menyalurkan idea, maklumat,buah fikiran dan emosi kepada pembaca melalui penulisan dan tanpa kemahiran tersebut tentulah sukar untuk menyampaikannya.
"Sebelum seseorang tahu berjalan dengan cara yang betul, janganlah terus hendak menari. Begitu juga halnya dengan penulis, kalau belum tahu menggunakan bahasa dengan betul dan sempurna tentulah sukar hendak menggayakan penulisan. Oleh kerana itu, syarat penting untuk menghasilkan penulisan yang indah, menarik dan berkesan mesti mengetahui bahasa dengan hukum dan nahunya."
Menurutnya lagi, perkara asas yang perlu diberi perhatian dalam penulisan ialah tanda baca, kata hubung, imbuhan, diksi, ejaan, binaan ayat, gaya penceritaan, simbol dan lambang, dan hubungan antara sebab dengan akibat dalam penceritaan.
Mengenai tanda baca, ada penulis yang bersikap sambil lewa atau mengabaikannya. Begitu juga dengan penggunaan kata penghubung juga penting walaupun ada kelonggaran. Jika tanpa kata hubung ayat itu boleh difahami secara salah, kerana itu kata hubung wajib hadir. Tetapi kata hubung boleh di tiadakan sekiranya ketiadaannya akan menimbulkan keindahan dan maksud ayat itu tidak akan menghasilkan makna yang berbeza.
Mengenai penggunaan kata imbuhan pula memang ada pilihan tetapi jika hendak dibuang mesti ada syaratnya kerana Tidak semua imbuhan boleh dibuang sesuka hati malah Poetic license tidak bermakna penulis boleh mencemarkan bahasa.
Katanya lagi, untuk menyampaikan maksud dengan tepat mestilah dibuat pemilihan kata yang sesuai. Kerana itu penulis perlu memperkayakan perbendaharan kata tetapi tidaklah sampai menggunakan perkataan asing atau purba yang tidak lagi sesuai dengan pemahaman dan jangan terpesona dengan perkataan baharu dan asing. Berusahalah mencari perkataan yang ada makna yang jelas dan sesuai dengan situasi yang hendak digambarkan. Kerana itu penulis mesti menggunakan ejaan yang betul, jangan percaya pada lelaziman tetapi sentiasalah rujuk kamus atau daftar ejaan.
Sehubungan dengan itu, dalam sesi bengkel yang diadakan pada sebelah petang, peserta diuji supaya menulis beberapa perkataan dengan ejaan yang betul. Terbukti masih ada penulis, termasuk yang telah lama menulis, salah disegi ejaan.
Menurut Puan Nor Azaz Aziz yang juga Editor Utusan, antara bebankerja yang terpaksa ditanggung oleh beliau ialah membetulkan ejaan dan tanda baca manuskrip penulis. Kerana itu beliau mengingatkan penulis supaya sensitif dengan perkara tersebut.
Menurut Encik Saleeh Rahamad lagi, pembinaan ayat juga adalah penting untuk pengambaran semula aksi dan latar tempat. Manakala pelanggaran nahu tidak mendatangkan apa-apa kesan keindahan. Ayat tergantung pula tidak bermakna apa-apa dan adalah menjadi satu kesalahan kecuali jika hendak menimbulkan keindahan contohnya jika pengarang menggunakan sudut pandangan orang pertama yang tidak tahu berbahasa.
Selain itu, dialog, monolog, pemaparan arus kesedaran,kegramatisan ayat penting dipenuhi kerana manusia sering bercakap menurut pemahaman pendengar atau kebiasaannya sahaja apatah lagi dalam monolog dalaman kerana seorang manusia boleh saja bercakap menurut kemahuannya. Tetapi jangan bawa rentak pecakapan itu sebaliknya bawalah rentak percakapan watak yang selari dengan situasi. Ayat yang dibina tanpa mengambil kira sisterm nahu dan logik pasti menimbulkan masalah disebabkan pengarang tidak melakukan penyuntingan dan pengarang tidak meletakkan dirinya di tempat pembaca. Kerana itu pengarang mesti memiliki sifat empati. "ungkapan yang jelas menunjukkan pemikiran yang jelas."
Encik Mohamad Saleeh, yang juga pensyarah di Universiti Malaya, menjelaskan terdapat kecenderungan penulis untuk membina ayat yang kelihatan hebat tetapi maknanya kosong. Sikap ingin menunjuk-nunjuk sebegini sangat bahaya kerana kalau tidak ditangani dengan cekap oleh Editor maka karya tersebut bukan saja tidak mendapat tempat dikalangan pembaca yang kritis malah membacanya merupakan satu pengalaman yang menyeksakan.
Selain itu, gaya penceritaan atau disebut juga dialog, monolog, deskripsi, juga adalah penting dan penulis perlu memanfaatkan gaya ini menurut kesesuaian termasuk dari segi wacana dan khalayak kerana peringkat umur yang berlainan memerlukan teknik yang berbeza. Kalau hanya narasi digunakan maka cerita itu bercorak sinopsis.
Menurut beliau lagi, masalah yang paling besar dalam manuskrip ialah wujudnya pembaziran ayat kerana itu penulis mesti tahu untuk membuat pemilihan. Jangan ragu-ragu untuk mencantas apa sahaja yang dirasakan tidak membawa kesan kepadatan .
Untuk mendapat kemantapan dalam karya, Setiap ayat yang dimasukkan mesti membawa makna. Dialog mestilah terpilih sahaja. Jangan masukkan semua dialog yang berlaku dalam perbualan. Teguran berbasa–basi tidak wajar dikekalkan. Sekiranya semua yang tidak penting dimasukkan ke dalam karya akan terpaparlan tahap pemikiran pengarang yang rendah. Oleh itu, beliau menyarankan jangan jadikan karya popular sebagai model penulisan.
Ketika menjawab soalan dari peserta, beliau mengingatkan, apabila seseorang penulis menghantar karyanya untuk sayembara maka perkara pertama yang perlu difikirkannya, bagaimana hendak menembusi gawang hati pihak penilai. Beliau mengambil contoh bagaimana sukarnya seorang penjaring bola hendak menembusi gawang pihak lawan yang terpaksa melepasi beberapa halangan.
Begitu juga dalam sayembara, sebelum sesebuah karya itu dimenangkan perlu berjaya menawan hati pihak panel penilai. Dan antara sifat karya yang benar-benar memenuhi kehendak penilai sayembara iallah; karya tersebut mestilah tulin tidak stereotaip. Dan biasanya penilai menilai karya tersebut berdasarkan pada ukuran negara, bangsa , agama dan edeologi, dan yang paling utama nilai pada ukuran sastera.
Kerana itu katanya, karya mestilah mengangkat ideologi yang penting seiring dengan pemikiran yang seharusnya wujud. Pemikiran ialah pandangan, idea yang gagah. Bahan cuma alat untuk mengangkat pemikiran. Dalam konteks pascamoden, bahan boleh didirikan oleh dua jenis binaan iaitu tradisi dan moden. Tetapi penulis harus tahu akan peredaran sastera dan perubahan tingkat pengetahuan khalayak sastera. Beliau menyarankan agar penulis membuka cakerawala yang luas, seluas-luasnya.
Selain itu, Penulis harus bergerak dan sentiasa mencari perubahan untuk meluaskan ufuk kreativitinya kerana Kreativiti tidak berdiri tunggal, bahkan mesti disokong oleh pemikiran. Kreativiti bukan hanya pada bahasa, pada subjek cerita, tetapi juga pada teknik dan daya pemikiran.
Begitupun, perubahan jangan sampai terlalu jauh daripada jangkauan pembaca sehingga tidak mampu dikongsi. Kalau cerita kita hanya difahami sendiri, tidak kemana juga kreativiti kita. Pemusatan diri yang keterlaluan membahayakan kerana karya kita tidak akan sampai sama ada kerana tidak disampaikan atau memang tidak sampai.
Mengenai persoalan bagaimana hendak memasukkan pemikiran dalam karya, Encik Saleeh Rahamad menjelaskan, untuk membawa pemikiran yang mencabar penulis perlu ada asas yang teguh disegi agama, nasionalisme dan patriotisme. Menurutnya, ada penulis yang beridealisme tetapi disampaikan hanya melalui dialog antara watak yang sengaja diwujudkan. Akibatnya terabailah struktur naratif yang juga penting sebagai bukti kesenimanan, bukti kehalusan seni sastera dan lebih parah apabila tidak ada watak lansung.
Ada pula peserta yang bertanyakan apakah karya yang menang sayembara itu perlu dijadikan contoh?. Beliau menegaskan yang pelu diikuti bukan karya itu tetapi sikap pengarangnya yang suka mencari kelainan. Atau lebih tepat contohilah sikap penulis bukan karyanya. Sekiranya karya penuh sarat dengan pengetahuan sains dan okologi atau teknologi tatapi kalau aspek manusiawinya tidak ada tak kemana juga karya itu. Aspek manusiawi inilah yang mengangkat karya dunia sehingga dapat bertahan lama dalam dunia sastera.
Beliau juga mengatakan jarang kedapatan karya yang menceritakan perpaduan walaupun kita hidup dalam kepelbagaian kaum, kepelbagaian budaya dan agama malah pegangan politik. Tetapi berapa banyak yang kita fahami tentang nilai itu.?. Kita jahil kerana tidak pernah mahu belajar. Budaya yang pelbagai antara kaum teras di malaysia sahaja tetapi belum mampu kita fahami. Bagaimanakah dapat kita bancuh idea dalam karya?. Kebanyakan Kita masih berpegang pada konsep manichean kita putih mereka hitam. Kita tidak mencerminkan realiti dan kerana itu tidak mampu memberi apa-apa sumbangan kepada pembentukan negara bangsa.
Mengenai menerimaan kaum lain terhadap sastera melayu, Encik Mohamad Saleeh berpendapat, sastera kita masih belum dapat menjinakkan pembaca daripada kaum lain. Salahnya salah kita juga kerana terlupa bahawa mereka juga perlu diberi layanan agar mereka terasa bahawa sastera melayu juga milik mereka. Kerana itu yang penting ialah sikap kita sebagai penulis. Kalau kita asyik memaksa pembaca lain masuk islam dan memburukan mereka jangan harap mereka akan tertarik dengan kita. Sebaiknya tunjukkan keindahan islam dan hujah-hujah yang boleh meyakinkan.
Mengenai peranan penulis di zaman ini pula, beliau mengatakan seharusnya penulis membela golongan yang tertindas kerana sebagai seniman yang halus jiwanya dan keras idealismenya akan terpanggil untuk menbela golongan ini. Namun pembelalan itu akan bertolak dari ideologi yang dipegang oleh seseorang penulis. Tolstoy umpamanya menulis war and peace bermula dari perhatiannya kepada orang kecil. Bagi Tolstoy sendiri dia berpegang kepada agama kristian. Kerana itu kita sebagai orang islam seharusnya lebih patut dapat mewujudkan satu pandangan yang simatetik, adil dan empatik.
Beliau juga mengajak para peserta yang terdiri dari penulis supaya berfikir, dalam dunia remaja siapakah yang memerlukan simpati dan pembelaan?. Kalau penulis hendak membela mereka apakah strategi dan asas pembelaan kita?. Penulis sastera remaja bukan lagi hanya perlu bercerita. Cerita penting sekali, naratif diperlukan dan plot juga utama tetapi ada yang lebih penting disebalik itu jangan diabaiakan. Sebaiknya karya untuk remaja tidak perlu terlalu radikal hingga terkeluar dari pada jalur konvensional. Pemusatan khalayak perlu kita beri perhatian. Tetapi suara peribadi kita harus ada dan tegas.
Misalnya, apabila penulis berdepan dengan satu kuasa penindas apakah strategi yang hendak digunakan?. Berlembut atau berkeras?. Bagi penulis agung Rusia, Tolstoy menggunakan pendekatan berlembut dalam karyanya kerana kekerasan selalunya berakhir dengan kekecewaan. Dalam masyarakat Melayu, kisah penentangan Tun Fatimah seperti yang diceritakan dalam sejarah melayu apakah hasilnya?. Strategi Hang Jebat atau Kasturi yang sanggup bermandikan darah apa pula kesannya?.
Menurut Encik Saleeh Rahamad, Ilmu juga akhirnya yang menjadikan kita sedar siapa diri kita dan dimana kita berada dan kemana haluan kita. Kerana itu, penulis perlu berilmu. Tetapi jangan silap difaham kerana penulis tidak semestinya memasukkan bahan (ekonomi, ekologi, astronomi dll) sebanyak mungkin tanpa semangat idea pemikiran manusiawi. Bahan itu cuma bahan rangsangan atau jambatan untuk menyeberang-menyampaikan pemikiran.
Mengenai rungutan apabila keputusan sayembara diumumkan ramai penulis yang mengeluh kerana mereka tidak menang malah menimbulkan spekulasi yang liar hingga ada yang menuduih kononnya panel tidak arif dalam bidang sastera, Panel bias, malah ada pula yang mempersoalkan kenapa Pengarang yang sudah biasa menang tidak menang?.
Menjawab persoalan itu, beliau berpendapat kalau hendak kritik, kritiklah pemilihan panel. Tetapi kalau si polan sudah dipilih dan diberi kepercayaan untuk jadi panel tentulah tidak wajar lagi dipertikai cara pengadilan. Malah beliau menegaskan tidak ada berat sebelah dalam mesyuarat mencari pemenang. Sesiapa yang pernah menjadi panel; pasti akan tahu.
Puan Nor Azah Abd Aziz pula ketika menyampaikan wacana yang bertajuk " Manuskrip : dari pengarang ke Editorial" menjelaskan tentang penyediaan maniuskrip.
Menurut beliau, untuk memudahkan kerja penilaian Fotrmat margin kiri 4,5 cm atas 2.5 cm dan bawah 5 cm. Menaip langkau 2 baris bukan 1 atau 1.5. Sediakan dalam salinan keras & lembut. Jangan tulis nama pengarang dimana-mana bahagian muka surat. sekiranya ada bahan tambahan sediakan dengan kemas, lengkap dan jelas. Jilid manuskrip dengan kemas gunakan jilid sikat ditulis judul dengan jelas dan pada kulit lapik dengan plastik lutsinar. Selain itu manuskrip hendaklah dibuat salinan hanya kirimkan yang asal sahaja. Jangan lupa sertakan surat iringan dengan alamat yang jelas nombor telefon serta biodata rengkas.
Menurutnya lagi, penamaan watak dan penjudulan karya juga penting. Berikan nama watak yang padan elok dan logik sesuaikan dengan zaman kejadian dan konteks. Pilih judul yang sesuai, ada nilai komersial dan boleh menguja khalayak.
Penulis hendaklah buat gambaran keseluruhan teks, mewakili idea dan kandungan. Sediakan judul simpanan sebagai persediaan kepada sebarang pertukaran. Selain itu sediakan pemetaan /mapping . Pemataan watak dan pemetaan plot. Pemetaan ini sangat berguna dalam usaha kemaskinikan manuskrip, kemas dari segi strukturnya terutama jika watak ramai dan plotnya rumit. Daripada metetaan ini, pengarang boleh membuat semakan silang.
Menurut Puan Nor Azah yang juga setiausaha HSKU tidak menetapkan sebarang tema atau bentuk asas penyertaan novel remaja asalkan sesuai dengan konsep sastera remaja dan kriteria penilaian.
Mengenai definasi remaja, beliau menjelaskan, awal remaja ialah berumur antara 13 – 15 tahun. Remaja akhir pula berusia antara 16 – 23 tahun dan belum berkahwin.
Kepada persoalan apakah konsep sastera remaja pula, beliau menjelaskan, menggunakan pandangan dunia remaja samaada di segi pemikiran atau pengolahan. Pendekatan penceritaan dan gaya bahasa haruslah komunikatif.
Selain itu mesej berseni tentang harapan, motivasi serta kegigihan mencipta kejayaan masa depan. Dan sebaiknya remaja sebagai penggerak cerita.
Kesimpulan dari wacana novel remaja ini ialah; untuk mendapatkan manuskrip novel remaja yang menepati matlamat dan khalayaknya ibarat menunggu kemunculan sinar di hujung terowong dan sinar itu memang ditunggu-tunggu kemunculannya saban tahun.
Dan Pada tahun ini penulis yang berminat untuk menyertai Hadiah Sastera Utusan kategori novel remaja mestilah menghantar manuskripnya sebelum atau pada 1hb Disember 2004.

1. PROSES PENULISAN CERPENSUAMIKU SEORANG MUJAHID, SARINA MEI 2003
Oleh: Abdul Latip
PENDAHULUAN
Baru-baru ini ada permintaan daripada ahli komuniti supaya diadakan kursus penulisan cerpen di komuniti Cerpen sebagaimana adanya kursus penulisan sajak di komuniti penyair. Oleh kerana belum ada lagi kursus penulisan cerpen yang disiarkan di komuniti ini maka saya ingin berkongsi pengalaman bagaimana saya menulis cerpen "Suamiku Seorang Mujahid" yang tersiar di Majalah SARINA Mei 2003.
Cerpen tersebut tidaklah hebat sangat namun tujuan saya menulis catatan ini sekadar ingin berkongsi pengalaman semoga boleh dijadikan panduan dalam menghasilkan sebuah cerpen. Ingin juga dinyatakan bahawa catatan ini sekadar menceritakan pengalaman saya bermula dari cetusan ilham, proses pengeraman, kerja menulis termasuk halangan-halangan hinggalah tersiarnya cerpen tersebut.
TAKRIF CERPEN
Cerpen singkatan dari "Cerita Pendek" di mana pembaca boleh menyudahkan pembacaannya dalam masa yang singkat, paling lama setengah jam. Atau pembaca boleh menghabiskan bacaannya sambil meneguk secawan kopi di kedai Pak Ya.
Pada kebiasaannya panjang sesebuah cerpen antara 6 – 20 muka surat bersaiz A4. Namun ada juga cerpen yang melebihi 20 muka surat dan ini bergantung kepada kehendak penerbit. Sebagai contoh, Untuk menyertai Hadiah Sastera Berunsur Islam, panjang cerpen antara 15 – 20 muka surat bertaip langkau dua baris . Untuk cerpen surat khabar pula tidak melebihi 10 muka surat. Ini bermakna kalau cerpen itu panjangnya 20 muka surat dikirim kepada mana-mana surat khabar, besar kemungkinan tidak akan disiarkan kerana terlalu panjang.
Dalam mana-mana bengkel penulisan cerpen ramai peserta yang bertanya apakah ciri-ciri cerpen yang baik? Dan biasanya penceramah atau pembimbing akan menjawab begini.
Tulisan yang baik adalah yang mudah difahami maksudnya, mudah dimengerti, informasi dan mesejnya jelas, menggunakan bahasa yang indah, mentaati kaedah bahasa, judulnya menarik, dan meyakinkan.
Selain itu cerpen yang baik juga dikatakan yang menyentuh berita semasa (news value), yakni aktual, faktual, penting, dan menarik. Dan ciri-ciri cerpen yang buruk pula ialah yang sebaliknya.
Namun cerpen yang dianggap baik oleh seseorang tidak semestinya dianggap baik pula oleh orang lain kerana setiap orang berlainan cita rasanya.
Adapun perkara yang perlu ada pada seorang penulis ialah niat yang baik, motivasi, mampu menguasai bahasa, suka membaca dan pandai menyesuaikan gaya penulisan mengikut kehendak pembaca.
Menulis sebuah cerpen ibarat membina sebuah rumah, mesti ada bahan-bahan untuk membangunkannya. Kalau rumah mesti ada tiang, atap, dinding, lantai dan sebagainya maka cerpen juga mesti ada perkara berikut:
1. CERITA
Cerita merupakan perkara penting dalam sesebuah cerpen. Dan kita hendaklah pastikan dulu jenis cerita yang hendak ditulis.
Cerita kekeluargaan Cerita jenakaFiksyen sainsCerita seramCerita sindiranPengembaraanCerita binatang Kisah cinta FantasiCerita agama
Cerpen "Suamiku Seorang Mujahid" tergolong cerita kekeluargaan yang berunsur agama Islam.
Cerpen ini mengisahkan sepasang suami isteri yang hidup dengan penuh kasih sayang. Suami bernama Soleh dan isteri bernama Solehah. Walaupun kehidupan mereka sederhana kerana si suami cuma bekerja sebagai penjaja surat khabar pada waktu pagi dan menjaja roti pada waktu petang, namun mereka merasa aman bahagia. Sehinggalah pada suatu hari suami mendapat kemalangan di jalan raya. Namun musibah itu membawa kebaikan kerana berjaya merapatkan kembali ikatan kekeluargaan antara Solehah dengan ibunya yang pada mulanya menentang perkahwinan Mereka. Cerpen ini diakhiri dengan "happy ending".
2. WATAK
Watak ialah pelakon yang mendukung cerita dalam sesebuah cerpen. Tanpa kehadiran watak maka cerita tidak dapat digerakkan.
Watak utama dalam cerpen SKSM ialah Solehah dan Soleh Antagonis/protagonis manakala watak tambahan pula Syafiq anak kecil dan watak tambahan lain terdiri dari Nizam, Aida, Letcumy, Marry dan Nurul sebagai jiran.
3. TEMA
Tema juga amat penting dalam sesebuah cerpen. Tema yang menarik perhatian pembaca ialah yang membawa persoalan baru dan boleh menambah pengetahuan pembaca.
Mesej yang hendak disampaikan melalui cerpen SKSM ialah harta kekayaan bukanlah faktor utama yang menjamin kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Kebahagiaan suami isteri itu terletak kepada saling berkasih sayang, hormat-menghormati dan taat akan agama.
4. SUASANA / LATAR BELAKANG
Latar belakang juga penting dalam sesebuah cerpen kerana membantu pembaca menghayatinya dengan jelas. Latar belakang tempat, masa dan sebagainya hendaklah dimasukkan ke dalam cerpen.
Cerpen SKSM berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat moden di bandar masa kini yang mana setiap individu perlu bersaing untuk meneruskan kehidupan masing-masing. Walaupun pelajaran itu penting namun mereka yang berkemahiran juga mampu bersaing untuk mendapat rezeki yang halal.
5. ALUR CERITA / TEKNIK PENCERITAAN
Teknik penceritaan juga amat penting kerana menarik perhatian pembaca. Ada teknik mendatar penceritaannya dari A hingga Z. Namun ada pula menggunakan teknik baru.
Cerpen SKSM bermula dengan teknik biasa kemudian dimasukkan juga flashback, monolog, kronologi, imbas kembali serta imbas muka watak-watak dalam cerita.
6. PERSOALAN
Persoalan dalam cerpen juga amat berkesan di hati pembaca. Ada persoalan yang dibiarkan tergantung jawapannya namun ada pula persoalan yang berjaya diselesaikan dengan baik.
7. AYAT AWAL
Ayat awal atau pembuka kata dalam sesebuah cerpen amat penting kerana di situlah letaknya minat pembaca. Jika ayat dimulakan dengan bahasa yang indah dan berjaya memikat pembaca maka besar kemungkinan mereka akan membacanya hingga habis. Sebaliknya jika ayat dimulai dengan perkataan yang membosankan maka besar pula kemungkinan ditinggalkan begitu sahaja.
Cerpen "Suamiku Seorang Mujahid" dimulakan dengan ayat "Suamiku selalu berkata, harta yang paling berharga dalam hidupnya ialah isteri dan anak-anak."
8. AYAT AKHIR
Manakala ayat penutup cerpen ini ialah "Aku dapat merasakan kasih ibu kembali bertaut."
8 perkara utama inilah yang melengkapkan sesebuah cerpen. Ibarat rumah juga jika tidak lengkap bahannya maka tidak sempurnalah pembinaannya.
BAGAIMANA PROSES KELAHIRAN CERPEN "SUAMIKU SEORANG MUJAHID"
CETUSAN ILHAM
Setiap penulis mempunyai pelbagai cara untuk mendapatkan ilham. Ada yang melalui pembacaan dari media cetak atau elektronik, contohnya apabila kita membaca sebuah berita mengenai satu kemalangan di jalan raya maka timbul rangsangan atau ilham untuk menjadikannya sebuah cerpen.
Cerpen "Suamiku Seorang Mujahid" cetusan ilham bermula apabila saya membaca berita dalam surat khabar mengenai satu kemalangan di jalan raya yang melibatkan sebuah lori dengan sebuah motosikal yang dipandu oleh seorang penjual roti dan mangsa kemalangan itu meninggalkan seorang isteri dan beberapa orang anak.
Ilham juga boleh datang apabila kita mendengar cerita yang disampaikan oleh orang lain sama ada kisah sedih, gembira, kisah yang menakutkan atau sebagainya.
Cerpen "Begitu Kehendak Tuhan" yang memenangi hadiah sastera berunsur Islam III (Antologi Cerpen Embun Hidayah: DBP) hasil dari pengalaman seorang ustaz yang menghidap penyakit kanser.
Begitu juga cerpen "Menaruh Harapan" memenangi hadiah Sastera berunsur Islam 1V (Antologi Cerpen Syahdu: DBP) dihasilkan daripada cerita seorang kenalan.
Menurut Sri Diah (dalam cacatannya di papan nota komuniti penyair) beliau menghasilkan Puisi "Begitu Banyak Kerikil Berbaring" adalah daripada pengalaman orang lain. Begitu juga dengan novel beliau yang laris di pasaran "Kuala Lumpur Di Mana Suamiku" diambil daripada kisah masyarakat.
Ilham juga boleh kita dapat sewaktu dalam perjalanan contohnya, Dr Irwan Abu Bakar mendapat ilham menulis puisi "Menolak Rezeki " ketika memandu kereta di satu jalan raya lalu beliau terpandang sebuah tong sampah yang terletak di tepi jalan.
Alaieffa pula melahirkan "Rindu Lagi" hasil dari kisah seorang kawannya yang mendapat kekasih melalui internet (chating).
Kerana itu ada baiknya kita menjadi pendengar yang baik supaya dapat kita kumpulkan kisah masyarakat untuk dijadikan sumber ilham. Dan bila kita keluar rumah atau pergi ke mana-mana elok kita sediakan pen dan kertas apabila mendapat ilham terus kita catatkan supaya tidak lupa. Namun jika anda jenis yang kuat ingatan boleh saja simpan dalam memori tanpa perlu sebarang cacatan di kertas.
Berbalik kepada cerpen "Suamiku Seorang Mujahid", ia bermula pada suatu hari (saya lupa tarikhnya) saya terbaca sebuah berita dalam surat khabar mengenai satu kemalangan di jalan raya yang melibatkan sebuah lori dengan sebuah motosikal. Pemandu lori cuma mendapat cedera ringan manakala penunggang motosikal mati di tempat kejadian.
Saya tertarik hati dengan berita ini kerana penunggang motosikal itu seorang lelaki berumur 35 tahun bekerja sebagai penjual roti dan mangsa meninggalkan seorang balu dan 5 orang anak.
Saya terus memikirkan bagaimanakah nasib isteri dan anak-anak setelah kehilangan tonggak tempat mereka bergantung. Dari situlah bermulanya ilham cerpen "Suamiku Seorang Mujahid"
Walau bagaimanapun watak dalam cerpen tersebut tidak mati cuma mendapat cedera di kaki kerana saya lebih suka peleraian kisah tersebut berakhir dengan kegembiraan.
PROSES PENGERAMAN
Proses pengeraman bermula dari cetusan ilham hinggalah karya itu dihasilkan. Cerpen SKSM mengambil masa beberapa jam sahaja proses pengeramannya lalu bermulalah proses melahirkan cerpen. Namun ada juga proses pengeraman itu mengambil masa berminggu-minggu malah berbulan-bulan baru dapat melahirkannya dalam bentuk cerpen.
Semasa proses pengeraman itulah saya memikirkan siapa watak utama dan watak sampingan, latar belakang masa dan latar belakang tempat dan sebagainya. Perkara-perkara tersebut perlu diberi perhatian kerana ia penting dalam proses penulisan sesebuah cerpen.
Semasa mewakili Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) mengikuti rombongan GAPENA ke Minangkabau Sumatera Barat, saya dapat berbual panjang dengan Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussain (selepas ini dipanggil pak Lah sahaja kerana itulah panggilan mesra saya hingga sekarang) mengenai proses penulisan. Kebetulan kami duduk satu bangku dalam bas dan sepanjang perjalanan dari Dumai ke Bukit Tinggi Pak Lah menceritakan pengalamannya mengenai proses pengeraman ini.
Menurut Pak Lah, kebiasaannya sebelum memulakan kerja penulisan beliau akan mengeram dulu bahan-bahan penulisannya dalam kepala kemudian barulah dicurahkan di atas kertas.
Beliau mengambil contoh bagaimana kelahiran seorang bayi yang mana melalui beberapa tahap sebelum dilahirkan dan jika belum cukup bulan bayi dilahirkan maka bayi tersebut dianggap "premature".
Dan sebelum bayi dilahirkan, si ibu kena buat persiapan seperti penjagaan kesihatan, memakan makanan yang berzat, menyediakan kain lampin, tempat tidur bayi dan sebagainya.
"Jika kelahirannya tidak dengan cukup persediaan sudah tentu bayi itu akan terencat mental dan fizikalnya," begitu kata Pak Lah.
Menurut pak Lah lagi, semasa pengeraman itulah penulis mengumpulkan bahan dengan membuat kajian. Jika cerpen itu ada kaitan dengan perubatan maka bertanyalah kepada pakar perubatan, jika berkaitan dengan agama maka rujuklah kitab atau para alim ulama, begitulah seterusnya.
PROSES PENULISAN
Proses penulisan sesebuah cerpen tidak dapat ditentukan lamanya kerana ia berkait rapat dengan pengalaman, daya ketahanan, dan ilmu bantu yang ada pada diri penulis.
Bagi penulis yang berpengalaman luas seperti Prof. Dr Othman Putih, Dato’ Shahnon Ahmad sekadar menyebut beberapa nama, boleh menyiapkan sebuah cerpen hanya dalam masa 3 – 4 jam sahaja.
Menurut Dato’ Abdullah Hussain pula, beliau mengambil masa lebih tiga tahun menyiapkan novel "IMAM" yang memenangi hadiah novel Pak Sako bernilai RM30,000.00.
Cerpen "Suamiku Seorang Mujahid " mengambil masa satu minggu untuk menyiapkannya. Saya mengambil masa yang agak lama menyiapkannya kerana merasa sukar hendak menghayati watak seorang isteri yang solehah atau isteri mithali. Akhirnya, saya membayangkan watak isteri saya kerana beliau yang lebih dekat dalam kehidupan saya. Selain itu saya juga terpaksa merujuk kitab hadis untuk mencari hadis-hadis berkaitan isteri yang solehah.
MASA MENULIS
Faktor masa juga tidak kurang pentingnya bagi seseorang penulis. Tambahan pula tidak ramai penulis di tanah air kita menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa.
Bagi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (merujuk sebuah rencana di akhbar) sebelum menulis atau selepas penat menulis, beliau suka mengajak isterinya menaiki basikal dan masa yang paling digemari pada waktu tengah malam. Mungkin itu caranya beliau dapat menenangkan fikiran.
Pak Arenawati pula apabila hendak memulakan kerja penulisan akan pergi ke satu tempat yang jauh dari rumah supaya dapat memberi sepenuh tumpuan tanpa gangguan dari keluarga hingga ada kalanya berbulan-bulan lamanya.
Ada pula penulis yang sanggup pergi ke kelab malam atau tempat hiburan untuk mendapatkan gambaran sebenar tempat tersebut sebelum dimuatkan dalam karyanya.
Dalam satu bengkel penulisan yang saya hadiri, Prof Dr Othman Putih sebagai pembimbing berkata, masalah penulis ialah bila hendak memulakan kerja menulis. Kalau banyak dapat ilham tapi tidak mula menulis atau bertangguh hendak menulis maka akhirnya hanya akan tinggal angan-angan kosong sahaja.
Kerana itu menulis adalah penting bagi calon penulis. Menurut Pak Lah, beliau memaksa dirinya menulis setiap hari sekurang-kurangnya lima halaman atau 5 muka surat.
Kerana itu ada yang mengatakan kalau seseorang itu ada bakat sebagai penulis tetapi malas menulis maka bakatnya akan tenggelam. Tetapi jika seseorang itu minat menulis dan rajin menulis maka bakatnya akan datang kemudian.
HALANGAN SEMASA MENULIS
Saya merasa beruntung kerana isteri saya faham minat saya di bidang penulisan. Kerana itu ketika menulis atau menghadap komputer walaupun hingga larut malam dia tidak pernah "kacau". Semasa anak-anak masih kecil, merekalah yang selalu mengganggu namun sekarang mereka duduk di hostel dan tinggal kami berdua sahaja tinggal di rumah sebagai pengantin lama. Kerana itu tidak banyak halangan untuk menulis.
Apa yang menjadi halangan saya ialah diri sendiri. Sekiranya rasa letih, mengantuk, rasa tertekan atau mood tidak baik maka kerja penulisan akan terganggu. Sebaliknya, jika mood baik saya boleh tumpukan berjam-jam lamanya menulis.
Dan, bagi saya, yang paling sukar sekali ialah hendak memulakan ayat pertama dalam sesebuah karya. Ayat pembukaan cerpen SKSM mengalami rombakan dan pembetulan yang berulang-ulang kali.
Pada saya, ayat pembukaan sesebuah cerpen amat penting kerana itulah pintu pertama yang hendak dimasuki oleh pembaca. Kalau ayatnya sedap, indah, dan mudah difahami ada kemungkinan besar pembaca akan terus membacanya. Tetapi kalau sebaliknya, mungkin akan ditinggalkan begitu sahaja.
Malah ayat-ayat al Quran juga banyak yang dimulai ayatnya dengan kata-kata yang menarik. Umpamanya, wahai orang-orang yang beriman, wahai sekelian manusia, atau dimulai dengan ayat yang tidak pernah kita dengar sebelumnya seperti "Alif, lam, mim" atau "qaf, ain, shod", dan sebagainya.
JUDUL YANG BAGAIMANA
Judul cerpen amatlah penting kerana ia sebagai daya penarik kepada pembaca. Pada kebiasaannya, judul itu mestilah ada kaitan dengan keseluruhan cerita. Ada penulis meletakkan judul kemudian iaitu setelah siap menulis cerpen. Namun kebiasaannya penulis meletakkan judul dahulu baru memulakan kerja menulis.
Judul cerpen "Suamiku Seorang Mujahid" telah diubah berkali-kali. Pada mulanya judul cerpen ini ialah "Isteri Yang Solehah". Namun saya merasa judul itu kurang sesuai lalu diubah menjadi "Dugaan Hidup". Itu pun tidak bertahan lama. Akhirnya saya mengambil keputusan judulnya "Suamiku Seorang Mujahid".
PENUTUP
Setelah cerpen "Suamiku Seorang Mujahid" berjaya disiapkan, timbul pula masalah ke mana hendak dikirimkan. Kebanyakan cerpen saya tersiar di akhbar jawi Utusan Zaman (kini Utusan Melayu mingguan). Masalahnya, cerpen SKSM mengandungi 15 muka surat dan kalau dihantar ke mana-mana akhbar tentulah ditolak kerana ruangan akhbar terbatas. Biasanya halaman sastera di akhbar hanya memuatkan cerpen yang mengandungi tidak lebih 10 muka surat bersaiz A4 dengan tulisan jarak langkau dua baris.
Terfikir juga hendak menghantar ke Dewan Sastera tetapi rasa tidak yakin kerana bagi saya DS terlalu tinggi, hanya penulis terkenal saja yang karya selalu tersiar. Akhirnya, cerpen "Suamiku Seorang Mujahid" terperam beberapa lama di stor karya saya.
Kemudian saya memberanikan diri mengirim cerpen "Suamiku Seorang Mujahid" kepada Sri Diah yang menjadi Editor Kanan Majalah SARINA. Dan alhamdulillah, cerpen tersebut tersiar di majalah SARINA pada bulan Mei 2003.
RENUNGAN
Kita mempunyai otak sebelah kanan dan otak sebelah kiri. Ketika menulis atau mengarang, kita menggunakan otak sebelah kanan untuk berimaginasi, berfantasi dan membayangkan sesuatu yang indah. Kerana itu gunakanlah otak sebelah kanan itu dengan sebaiknya.
Sekian, wassalam.
Abdullatip28. 04. 2003.


2. BERKENALAN DENGAN DATO’ ABDULLAHHUSSAIN SASTERAWAN NEGARA DANPEMENANG NOVEL SAKO 1.
oleh: Abdul Latip Talib
Saya minat membaca karya Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussain sejak di tingkatan lima lagi kerana sebagai pelajar aliran sastera saya didedahkan dengan karya berbentuk kreatif seperti novel, cerpen dan sajak. Minat membaca karya beliau berterusan hingga ke hari ini dan antara cerpen yang masih kekal dalam ingatan saya ialah " Sebuah Pekan Bernama Semporna" dan " Bayang-Bayang Kelabu." Selain itu saya minat juga membaca novel " Bumi Bertuah" yang diterjemahkannya dalam bahasa melayu.

Kali pertama saya bertemu dan melihat wajah beliau dari dekat ketika majlis penyampaian " Hadiah Sastera Berunsur Isla 1V " tahun 1992 di Pusat Islam Kuala Lumpur. Beliau hadir bukan sebagai pemenang sayembara tetapi turut meraikan para pemenang. Kerana beliau nampak sibuk maka saya cuma sempat bersalaman sahaja tanpa dapat berbual panjang.
Saya berpeluang bercerita panjang serta dapat berkenalan lebih rapat dengan pengarang yang mampu bertahan di bidang penulisan selama lebih 50 tahun itu apabila kami bersama dalam satu rombongan lawatan ke Sumatera Barat Minangkabau dalam tahun 1994.
Kebetulan kami duduk satu bangku dalam bas dan sepanjang perjalanan yang meletihkan tapi menyeronokkan dari Dumai ke Bukit Tinggi memberi kesempatan kepada kami berbual panjang. Dan saya merasa bertuah kerana pengarang yang saya kagumi sejak di alam persekolahan itu seorang yang tidak kedekut mencurah ilmu serta pengalaman.
Perkara utama yang menjadi topik perbualan kami mengenai novel " Imam " yang memenangi tempat pertama hadiah Nasional Novel Sako 1 yang dianjurkan oleh Utusan Melayu- Publik Bank.
Menurut Dato’ Abdullah, beliau mengambil masa lebih 3 tahun untuk menyiapkan novel setebal 900 halaman itu dan walaupun tujuan beliau menulis novel itu bukan untuk sayembara tetapi menyertaannya untuk hadiah novel nasional itu cuma di saat akhir denga tujuan supaya manusktrip tersebut dibaca dan dinilai oleh penel sayembara denghan andaian jika menang manuskrip tersebut mudah diterbitkan.
Ini Kerana beliau menjangka tidak ada penerbit yang sanggup menerbitkan manuskrip yang begitu panjang kecuali jika memenangi sayembara.
Beliau bersyukur kerana manuskrip tersebut telah memenangi hadiah pertama peraduan mengarang novel Sako 1 dan bila ditanya bagaimana perasaan Dato’ Abdullah setelah memenangi hadiah peraduan penulisan yang begitu besar di negara kita, sambil tersenyum beliau mengatakan penghargaan itulah saja yang bernilai sementara pendapatannya tidaklah selumayan mana kerana setelah bekerja keras selama lebih tiga tahun pendapatan yang diperolihi cuma RM30,000.00 atau RM700.00 sebulan.
"Tetapi tujuan saya menulis bukan untuk mengumpul harta atau inginkan kaya raya," katanya sambil merenung jauh.
Katanya lagi, beliau pernah bekerja di negara Brunei, Singapura dan Indonesia, ketika itu banyak peluang jika ingin menjadi kaya raya tetapi beliau tidak pernah menggunakan kedudukannya untuk mengaut harta kekayaan.
Menurut Dato’ Abdullah, apa yang paling menggembirakan hatinya ialah setiap kali melahirkan karya beliau merasa bahagia seperti bahagia seorang ayah menerima kelahiran cahaya mata.
"Kerana itu pengarang nampak awet muda kerana selalu merasa bahagia setiap kali melahirkan karya," katanya.
Ketika ditanya bagaimana proses melahirkan karya, beliau menyatakan kebiasaannya sebelum memulakan kerja penulisan beliau akan memeram dulu bahan-bahan penulisannya dalam kepala kemudian barulah dicurahklan di atas kertas.
Beliau mengambil contoh bagaimana kelahiran seorang bayi yang mana melalui beberapa tahap sebelum dilahirkan dan jika belum cukup bulan bayi yang dilahirkan maka bayi tersebut dianggap " premature". Dan sebelum bayi dilahirkan, si ibu kena buat persiapan seperti penjagaannya, kesihatannya, memakan makan yang berzat,menyediakan kain lampin, tempat tidur bayi dan sebagainya. Jika kelahirannya tidak dengan persediaaan sudah tentu bayi itu akan terencat mental dan fizikalnya, begitu kata Dato’ Abdullah.
" Patutlah novel Imam menang sayembara kerana mengandungkannya selama lebih tiga tahun," kata saya bergurau.

" Pada mulanya saya menjangka novel tersebut akan menghadapi kontroversi yang hebat daripada pembaca," balas Dato’ Abdullah dan agak tersentak mendengarnya.

" Kenapa Paklah fikir begitu?." Tanya saya spontan.

Dato’ Abdullah tidak segera menjawab. Seperti biasa dia kelihatan tenang dan selalu tersenyum. Ketika itu bas yang kami naiki sedang mendaki lereng Gunung Maninjau dan kesemua penumpang yang terdiri dari penulis mapan dan penulis baru sedang menikmati keindahanan Danau Maninjau yang terentang indah di kaki gunung tersebut.
Airnya yang nampak kebiruan itu sungguh indah. Tetapi minat saya lebih tertumpu kepada novel " Imam" dari mendengar mitos asal usul Danau Maninjau yang diceritakan oleh Encik Shahrial pemandu pelancung kami yang dilahirkan di kota padang.
Menurut Dato’ Abdullah, novel Imam ada menyentuh beberap isu sensitif antarnya mengenai raja-raja, alim ulamak dan sikap orang Melayu yang pada pandangan beliau ada yang merugikan bangsa Melayu sendiri.
Contonya Imam Mihat watak utama novel " Imam" ingin membawa perubahan kepada masyarakatnya supaya berfikiran terbuka dan tidak takut untuk menyatkan kebenaran walaupun pahit untuk untuk diterima. Kerana kelantangan Imam Mihat maka akhirnya dia dikorbankan. Inilah biasnya yang terjadi dalam masyarakat melayu sesiapa yang bersikap melawan arus selalunya menjadi mangsa. Contonya Hang Jebat kerana dia bersikap menentang maka akhirnya dia terpaksa dikorbankan.
Menurut Dato’ Abdullah, Nor Azah Aziz Editor Utusan Publications yang ditugaskan untuk penerbitan novel tersebut merasa terlalu tersinggung kerana watak utama novel tersebut dibunuh.
"Masyakrat bukan membunuh Imam Mihat tetapi membunuh kebenaran," begitu penjelasan Dato, Abdullah.
Penjelasan itu membuat saya berfikir, apakah sesiapa yang cuba menegakkan kebenaran akan dikorbankan oleh masyarakat kerana takut dengan perubahan?.
Sesungguhnya saya merasa kagum dengan semangat Dato’ Abdullah. Walaupun usainya sudah menjangkau lebih 80 tahun tetapi semangatnya masih kental dan tenaganya masih kuat. Buktinya beliau sanggup menyertai 49 penulis kerabat GAPENA mengembara ke Sumatera Barat melalui jalan darat yang banyak cabaran dan berliku-liku itu. Di Kota Padang beliau turut hadir di hari "Sumpah Pemuda" bertemu dan berdialog dengan tokoh budaya dan sastera Sumatera Barat dan tidak pernah ketinggalan dalam
lawatan ke tempat- tempat bersejarah.
Menurut Dato’ Abdullah, beliau sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Beliau tidak merokok, selalu bersikap sederhana dalam semua perkara, waktu tidur yang cukup dan mengambil sedikit sahaja makanan setiap kali makan.
"Penyakit berpunca dari perut. Jika membatasi kemahuan perut pasti sihatlah badan kita begitu petua Dato’ Abdullah.
Ketika kami berada di Bukit Tinggi yang pemandangannya amat indah dan udaranya sejuk itu, sekali lagu saya mendampingi Dato’ Abdullah untuk bertanyakan pengalamannya di bidang penulisan. Menurut Dato’ Abdullah, beliau mula menulis ketikia berusia 18 tahun dan kini sudah lebih 50 tahun beliau menjadi penulis.
Beliau telah membuktikan ketokohannya di bidang sastera, bila Novel yang berjudul "Imam" telah berjaya memenangi hadiah bernilai RM30.000.00 yang saama jumlahnya dengan anugerah Sasterawan Negara.
Ketika kami melangkah masuk ke istana Pagar Ruyung sekali lagi saya bertanyakan mengenai novel "Imam". Menurut Dato’ Abdulalh, beliau sengaja memilih judul imam Mihat kerana dalam masyarakat Melayu dan Islam, imam merupakan orang yang paling berpengaruh malah sangat dihormati. Imam boleh memimpin masyarakat manakala Mihat pula nama orang melayu tulin.
Menurut Dato’ Abdullah, banyak adat istiadat melayu yangmerugikan bangsa melayu sendiri contohnya orang melayu terlalu sangat merendah diri sehingga meminta ampun dan maaaf bila hendak berbicara dengan orang-orang besar sedangkan dia belum pun melakukan kesaalahan. Akibatnya pemikiran bangsa kita tertutup kerana sentiasa merasa dalam keadaan bersalah, otaknya tidak bebas sedangkan hanya kepada Allah kita meminta ampun sesudah terlanjur bersalah.
Kerana itu Imam Mihat cuba menyedarkan masyarakat supaya menghargai diri sendiri kerana di sisi Allah swt mereka yang mulia ialah yang lebih takwanya. Sebaliknya mereka yang menderhaka kepada Allah akan menerima balasan.
Kerana imam Mihat di lahirkan oleh pengarangnya melalui pengalaman peribadi dan citarasa yang telah dicanai begitu lama maka tidak hairanlah nivel tersebut dianggapa antara novel melayu yang terbaik.
Beliau juga menasihatkan penulis-penulis muda jangan terlalu ghairah untuk menjadi terkenal dengan mengambil jalan pintas seperti menciplak karya orang lain dan jangan cepat lupa diri bila dipuji kerana itu boleh merugikan masa depan penulis itu sendiri.
Catatan: saya telah mendapat izin dari Dato’ Abdullah Hussain untuk menyiarkan artikel ini.



3. JEJAK KREATIF:
NIKMAT SELEPAS MELAHIRKAN…

Oleh: Abdul Latip Talib
Proses melahirkan karya memang seronok, selepas melahirkannya lebih seronok dan paling seronok apabila melihat karya tersebut diterbitkan.
Bagi mereka yang tidak minat di bidang penulisan mungkin menganggaap kerja melahirkan karya adalah menjemukan kerana terpaksa memerap seorang diri dalam bilik mengadap komputer hingga berjam-jam lamanya. Kerjanya juga tidak tentu masa ada kalanya hingga larut malam, ketika orang lain sedang lena diulit mimpi penulis masih tekun untuk melahirkan karyanya. Lebih anih kerja itu tidak boleh dikongsi dengan orang lain, sendiri yang memulakan kerja dan sendiri yang menyudahkannya. Sendiri yang mencipta masalah dan sendiri pula yang menyelesaikannya. Paling hebat penulis punya kuasa untuk menentukan nasib wataknya sama ada baik atau jahat, terus hidup atau dimatikan sahaja. Pendek kata putih kata penulis maka putihlah wataknya dan begitulah sebaliknya.
Apabila penulis sedang berkarya dia berada dalam satu dunia yang sepi kerana kerjanya tidak boleh diganggu oleh suasana bising seperti pasar malam atau komplek beli belah. Ketika orang lain bermain bola sepak di padang penulis terpaksa berada dalam biliknya menyiapkan kerja dan ketika anak-anak dan isteri seronok menonton tv di ruang tamu penulis terpaksa mengadap komputer dan ketika mereka sedang dibuai mimpi Penulis masih bersengkang mata berjaga malam untuk melahirkan karyanya.
Apabila penulis sudah berjaya melahirkan karya maka terdapat dua cara untuk menerbitkannya iaitu melalui alam siber internet (contoh: esastera.com) atau bukan internet (surat kabar dan majalah). Melalui alam siber penulis boleh melihat karyanya diterbitkan dalam masa yang singkat berbanding media cetak seperti surat kabar atau majalah penulis terpaksa menunggu berminggu-minggu atau bulan malah mungkin menjangkau tahun baru dapat melihat karyanya diterbitkan. Namun antara alam siber dengan alam cetak terdapat kebaikan dan keburukannya.
Keburukan alam cetak tidak semua karya yang dikirim oleh penulis akan diterbitkan kerana ruangannya terhad, contohnya surat kabar cuma satu minggu sekali menyiarkan sebuah cerpen manakala majalah pula kecuali Dewan Sastera, sekali keluaran sebuah cerpen. Selain itu karya juga ditapis dan dinilai dulu oleh editor dan hanya karya yang terbaik sahaja akan diterbitkan.
Kerana itu ada penulis yang merasa kecewa malah patah semangat apabila banyak karya yang dihantar tidak ada yang mendapat tempat di dada akhbar atau majalah kerana terpaksa bersaing dengan penulis lain.
Kebaikannya pula karya yang terbit di alam cetak lebih ramai pembacanya berbanding karya yang terbit di alam siber. Cubalah bayangkan kalau surat kabar itu dicetak berpuluh ribu atau beratus ribu naskhah tentu ramai yang membacanya. Walau pun tidak semua pembaca berminat membaca cerpen atau sajak namun nama penulis akan lebih cepat terkenal jika karyanya selalu tersiar di alam cetak.
Alam siber juga ada kebaikannya, contohnya esastera.com, penulis dapat melihat karyanya diterbitkan dalam masa yang singkat. Karya tersebut tidak perlu ditapis atau di nilai oleh editor kerana ia boleh terus disiarkan. Dan penulis pula boleh mengedit karyanya sendiri dari masa kesemasa. Kos menerbitkan karya di alam siber lebih murah berbanding surat kabar atau majalah. Namun kerana masyarakat pembaca masih ramai yang belum celik komputer dan internet maka bilangan pembacanya belum meluas lagi. Namun tidak mustahil di suatu masa nanti pengaruh alam siber mengatasi media cetak.
Keburukan alam siber pula, jika boleh dikatakan keburukan, semua penulis sama ada baru atau veteran boleh menyiarkan karyanya sama ada bermutu atau tidak, berbanding surat kabar atau majalah dinilai dulu oleh editor. Kerana itu barangkali ada baiknya sisterm mentor mantee (MM) yang dicadangkan supaya karya penulis dinilai dulu oleh mereka yang berpengalaman di bidang masing-masing.
Namun ada juga penulis yang tidak menyenangi cara itu kerana menyekat kebebasan untuk berkarya. Ini disebabkan ada penulis yang menyiarkan karyanya hanya untuk mencari kepuasan berkarya dan baginya kepuasan berkarya itulah yang lebih penting.
Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh SN Datuk Abdullah Hussain "apabila penulis melahirkan karya dia merasa bahagia seperti bahagianya seorang bapa mendapat anak." Kerana itu barangkali penulis menyayangi karyanya seperti anak sendiri.
Abdullatip
18.07.2003.


4. BAGAIMANA TIMBULNYA MINAT MENULIS…

Oleh: Abdul Latip Talib
Semasa kecil, saya dipelihara oleh nenek yang menjaga dengan penuh kasih sayang serta disiplin yang agak ketat. Apabila hendak keluar rumah mesti dengan izin nenek dan balik ke rumah sebelum waktu maghrib kemudian bersiap pergi mengaji. Sejak kecil, pergaulan saya agak terbatas dan tidak berminat di bidang sukan kerana tidak mendapat galakan daripada nenek. Namun, saya tidak salahkan nenek. Malah, saya berasa terhutang budi kepada nenek yang memelihara saya sejak kecil.
Salah satu keistimewaan nenek ialah pandai bercerita. Bermacam-macam kisah yang diceritakannya terutama bila kami hendak tidur. Antara cerita yang selalu diulang-ulang oleh nenek dan amat berkesan di hati saya ialah cerita "Batu Belah Batu Bertangkup" dan "Si Tenggang Anak Derhaka". Kadang-kadang saya mengalirkan air mata apabila mendengar cerita nenek.
Apabila saya masuk alam persekolahan (sekolah rendah), saya suka membaca buku bergambar (komik) yang saya pinjam daripada kawan-kawan. Antara komik yang paling saya minat ialah cerita Tarzan. Saya bayangkan diri sayalah Tarzan raja di hutan yang kawan-kawannya terdiri daripada beruk, gajah, dan harimau.
Apabila masuk sekolah menengah, barulah saya minat membaca novel terutama kisah pengembaraan. Ketika berada di dalam Tingkatan empat, lima dan enam saya didedahkan pula dengan pelajaran kesusasteraan. Ketika itu novel Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan dan Hikayat Hang Tuah menjadi teks wajib mata pelajaran tersebut.
Ketika itu, saya juga ada melanggan akhbar Utusan Pelajar terbitan Utusan Melayu (sekarang sudah tiada lagi). Antara ruangan yang paling saya minati ialah Ruangan Taman Sains yang dikelolakan oleh Pak Matlob. Saya suka membaca cerita-cerita sains fiksyen yang tersiar di ruangan tersebut. Pada suatu hari timbul pula idea untuk menulis cerita sains yang ada hubungan dengan pengalaman sendiri. Lalu saya menulis cerita pendek mengenai dunia lebah yang dibuat dalam bentuk perasaan manusia. Tajuknya "Mayat Bertaburan di Dinding Kota". Cerita tersebut ditulis hasil daripada pengalaman sendiri bersama kawan-kawan ketika mengambil manisan lebah. Perasaan saya tersentuh apabila melihat kekejaman yang dilakukan ke atas lebah-lebah tersebut. Sudahlah madunya diambil, lebah-lebah itu dibakar dan sarangnya dibinasakan. Cerita tersebut saya hantarkan kepada Pak Matlob dengan tulisan tangan sahaja menggunakan kertas buku latihan sekolah. Selang beberapa minggu kemudian, karya itupun tersiar. Alangkah gembiranya hati saya menatap karya pertama tersiar di akhbar yang saya minati. Walaupun tulisan saya itu telah disunting oleh Pak Matlob, namun sudah cukup untuk menjadikan saya terlalu gembira. Tambahan pula, nama saya dan alamat sekolah tertera pada karya tersebut. Dan saya lebih berasa gembira apabila kawan-kawan dan guru-guru mengucapkan tahniah. Mereka mengatakan saya telah menaikkan nama sekolah.
Keseronokan melihat karya tersiar di Ruangan Taman Sains dan juga galakan daripada guru dan kawan-kawan menjadikan saya terus menulis beberapa buah lagi cerita sains fiksyen dan alhamdulillah, pak Matlob tidak menghampakan harapan saya apabila setiap karya yang dihantar pasti tersiar. Walaupun tidak mendapat apa-apa bayaran, namun saya berasa satu kepuasan setiap kali saya menatap karya yang tersiar di akhbar tersebut. Ketika itu, saya mula mengenali beberapa orang penulis yang karyanya sama-sama tersiar di ruangan tersebut antaranya Ghazali Ngah Azia dan Ismail Sarbini.
Apabila gagal melanjutkan pelajaran ke Universiti akibat keputusan peperiksaan STPM yang kurang memuaskan, saya memasuki alam pekerjaan dengan makan gaji. Saya mendapat tawaran bekerja sebagai Penyelia Rancangan Tanah FELCRA yang tugasnya sentiasa sibuk dengan kerja-kerja di ladang dan menghadapi kerenah peserta tanah rancangan. Oleh kerana itulah barangkali saya tidak menulis lagi.
Namun pada awal tahun 1990, saudara Ghazali Ngah Azia menyurati saya meminta izin untuk menerbitkan beberap buah cerpen yang tersiar dalam akhbar Utusan Pelajar. Karya-karya itu akan diterbitkan dalam antologi bersama dan beliau sendiri sebagai penyelenggaranya.
Saya merasakan seola-olah baru dikejutkan daripada mimpi nan lena oleh saudara Gazali Ngah Azia, hampir sepuluh tahun saya tidak berkarya dan kini saya digerakkan semula. Ketika itu Ghazali Ngah Azia dan Ismail Sarbini telah mengukir nama dalam bidang penulisan. Terfikir juga oleh saya sekiranya saya terus menulis mungkin sudah banyak karya yang telah dibukukan. Ketika itu, barulah saaya berasa menyesal kerana lama tidak menulis. Dan saya pun berazam untuk kembali mengasah pena.
Peluang untuk kembali mengasah bakat di bidang penulisan muncul aapabila Pak Matlob menjadi pengelola Ruangan Pembaca Muda di akhbar Utusan Zaman. Saya menghubunginya semula dan menghantar beberapa buah karya berbentuk rencana dan beberapa cacatan perjalanan. Alhamdulillah, usaha ini tidak menghampakn kerana karya-karya saya disiarkan.
Setelah beberapa buah karya tersiar, saya memberanikan diri menulis cerpen dan menghantarnya ke halaman sastera akhbar tersebut. Cerpen pertama saya berjudul "Tuk Ngah" tersiar di halaman sastera Utusan Zaman pada 11 November 1990. Saya anggap itulah tarikh bermulanya saya menulis secara aktif.
Cerpen pertama itu menjadi titik tolak dan saya menjadi lebih yakin untuk terus menulis. Semenjak tahun 1990 hingga kini, lebih 40 buah cerpen tersiar dalam akhbar dan dibukukan dalam antologi cerpen bersama. Saya merasa terhutang budi kepada akhbar Utusan Zaman kerana menjadi medan bagi saya mengasah bakat di bidang penulisan cerpen. Terima kasih juga kepada Pak Matlob yang telah membimbing saya sejak dari bangku sekolah, juga kepada saudara Ghazali Ngah Azia yang selalu menggerakkan saya apabila lama tidak menulis.
Pada tahun 1991 saya menjadi ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan kali pertama berpeluang mengikuti bengkel penulisan novel remaja di Gelanggang Paroi, Seremban. Pembimbing bengel tersebut ialah Dr. Othman Putih dan Ali Majod. Mereka guru saya dalam bidang penulisan novel remaja. Setelah mengikuti bengkel tersebut saya berjaya menghasilkan beberap buah novel remaja yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Benarlah kata orang menulis ini ada pasang surutnya. Dan paling sukar untuk mengekalkan mood menulis. Setelah berjaya menghasilkan beberapa buah novel remaja dan setelah cerpen tersiar di akhbar dan memenangi hadiah sayembara tiba-tiba mood menulis terhenti secara tiba-tiba. Dan sepanjang tahun 2001 dan 2002 adalah tahun yang saya kekeringan idea untuk menulis sehingga tidak ada karya yang dapat dihasilkan.
Tetapi mujurlah pada awal tahun 2003 saya terbaca sebuah rencana dalam akhbar Berita Minggu mengenai ComunityZero (e-sastera) lalu saya mengutus emel kepada Dr Irwan Abu Bakar mohon menjadi ahli.
Setelah menjadi ahli komuniti e-sastera minat menulis kembali membara kerana suasana di komuniti ini menggalakkan saya untuk menghasilkan karya. Dan kalau dulu saya tidak berapa minat menulis sajak tetapi kini timbul minat menulisnya. Malah saya juga merasa seronok mengulas beberap buah sajak. Dan setiap kali berjaya melahirkan karya saya merasa bahagia dan lebih bahagia apabila mendapat galakkan daripada sahabat-sahabat.
Dan saya tidak akan lupa sahabat-sahabat di komuniti ini antaranya Prof Dr. Irwan, Hasimah, Alaieffa, Sri Diah, Nakhoda, Zainallasim, Gravesdigger, Anbakri, Anasuraya, Nilamsari, Puteribayu, Serindit dan ramai lagi yang namanya tidak sempat ditulis di sini.
28.07.2003

Saturday, July 31, 2004

WAWANCARA 2

Sdra Abdullatip. Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk esastera. Banyak hal telah sdr ceritakan melalui wawancara dengan majalah Tunas Cipta yang telah sdr siarkan di esastera. Maka saya akan menumpukan soalan-soalan saya kepada isu-isu yang lebih dekat dengan esastera sendiri.

1. Bagaimana sdr berjumpa dengan esastera? Apa yang menyebabkan sdr menyertainya?

Saya mula berjinak dengan internet pada awal tahun 2000. Ketika itu saya lebih banyak menghabiskan masa di chat room. (berchating). Namun saya tidak mendapat apa-apa kepuasan malah tidak membantu proses penulisan kreatif saya.
Pada suatu hari, dalam tahun 2003, saya dah lupa tarikhnya, ketika menatap akhbar Berita Minggu saya terbaca sebuah artikel mengenai esastera berserta gambar Drirwan. Saya berasa tertarik hati untuk menyertainya kerana berkarya melalui internet adalah sesuatu yang baru kepada saya. Tambahan pula saya sudah lama tidak berkarya dengan harapan bila menyertai esastera akan memupuk semula semangat untuk menulis.
Selain itu sayembara yang diadakan oleh esastera juga menjadi daya tarikan kerana saya berpendapat usaha itu memberi ransangan kepada penulis untuk berkarya. Menang atau kalah perkara kedua. Yang pasti sayembara itu meransang saya menulis dan karya yang dihasilkan akan dinilai oleh mereka yang berwibawa. Selain itu dengan menyertai sayembara juga seseorang penulis dapat mengukur setakat mana mutu karya yang dihasilkan.

2. Kini sdr bolehlah dianggap sbg orang kuat esastera. Sdr menghabiskan banyak masa sdr di sini. Bolehkah sdr huraikan manfaat yang sdr peroleh?.

Saya ucapkan terima kasih kalau Drirwan menganggap saya sebagai orang kuat esastera. Selain saya sdr Arisel orang kuat di Sajen, sdr Airmas_sz orang kuat di poets, sdr Tintasukma orang kuat Mapan, sdr Dahrie orang kuat di berbicara dan sdr Damahum orang kuat di Haiku. Kita ibarat sebuah bangunan yang mana tugas kita saling kuat menguatkan.
Benar saya menghabiskan banyak masa di sini. Kekadang dalam sehari semalam saya masuk berkali-kali. Malah ada masanya saya boleh bertahan mengadap komputer sepanjang hari. Nasib baiklah isteri tak komplen kenapa saya lebih banyak menghabiskan masa mengadap komputer berbanding dia. Atau mungkin juga dia berasa lebih selamat saya memerap dalam bilik dari merayap di luar sana.
Kalau hendak dinilai manfaatnya di segi kewangan setakat ini memang tidak ada keuntungannya. Malah setiap bulan bil telefon dan internet melambung. Namun begitu, sebelum menyertai esastera pun bil dah melambung kerana asyik berchating…hahaha. Yang pasti bila menyertai esastera saya sudah boleh melupakan IRC..
Saya mendapat kepuasan berkarya apabila menyertai esastera kerana sendiri yang tulis dan sendiri yang siarkan. Lepas itu tunggu kalau ada komen dari kawan-kawan. Komen yang baik saya jadikan teladan manakala yang kurang baik dijadikan sempadan.
Manfaat lain yang saya perolehi kerana esastera meransang saya berkarya. Setiap kali melayari esastera seperti ada bisikan di hati untuk menulis apatah lagi bila mendapat galakan dari kawan-kawan. Kerana itu saya jadikan melayari laman web esastera sebagai hobi utama kerana bermanfaat kepada penulisan kreatif saya.

3. Ahli esastera datang dan pergi. Sdr nampaknya kekal bersama esastera untuk jangka yang agak lama. Sila komen.

Sejak mula menyertai esastera saya berharap akan menemui sesuatu yang baru serta dapat pula meningkatkan minat saya dibidang penulisan. Tambahan pula ketika itu sudah ada 3 orang kenalan iaitu Zainal Lasim, Sri Diah dan Alaieffa dan kami sering bertegur sapa di papan nota. Kemudian dari hari ke sehari kenalan saya semakin bertambah dan kini boleh dikatakan semua ahli sastera sudah saya kenali walaupun cuma di alam maya sahaja.
Setelah beberapa bulan menyertai esastera barulah timbul perasaan suka. atau lebih tepat " dah jatuh cinta." Memang benar ahli esastera datang dan pergi. Nama-nama yang dulunya selalu kelihatan di esastera kini sudah menyepi. Zainal lasim, sri diah dan alaieffa juga mula menyepi. Apakah kerana sibuk, sudah berasa jemu atau mungkinkah merajuk?.
Saya dapat bertahan untuk jangka yang agak lama kerana selalu saya sematkan di hati bahawa tujuan utama saya menyertai esastera hanya untuk berkarya. Samaada karya saya mendapat perhatian atau sebaliknya tidak menjadi masalah. Tambahan pula semua karya yang saya siarkan saya kumpulkan dengan harapan pada suatu hari nanti akan dapat diterbitkan. Dengan arti kata lain, saya tidak berasa rugi apa-apa kalau terus berada di sini.

4. Rasanya, karya sdr yang paling banyak dipindah keluar oleh Founder dari esastera ke "laman eksklusif". Apa komen sdr? Pernahkah sdr merajuk dengan esastera?.

Hahaha…memang benar antara ahli esastera yang karyanya selalu kena delete oleh Founder ialah karya saya kerana melanggar piawaian esastera. Kerana kerap kali kena delete sehingga ada yang kata "muka selalu kena delete". Nak buat macam mana kerana banyak idea "gila-gila" yang datang. Kadang-kadang ada kengkawan bercerita lalu saya jadikan sajen. Walaupun begitu saya cuma merapu dalam penulisan sajen sahaja.
Seingat saya tidak pernah merajuk dengan esastera. Cuma pernah bercuti rehat selama beberapa minggu. Puncanya begini, Suatu kali sajen saya kena delete oleh Founder. Sebelum itu sudah beberapa kali kena delete tapi saya tidak berasa hati sangat. Tetapi kali itu sudahlah kena delete, saya mendapat kiriman emel dari orang yang tak dikenali mengatakan " kalau nak merapu nyah dari esastera." Pada masa itu saya menyangka emel tersebut dikirim oleh tuan rumah. Bayangkan betapa terlukanya perasaan saya ketika itu…

5. Sebagai seorang yg sangat aktif di esastera, adakah sdr menerima emel-emel yang menghentam atau menyerang sdr secara peribadi?.

Memang benar saya pernah menerima kiriman emel layang dari orang yang tidak dikenali. Pada mulanya saya berasa agak sedih kerana menyangka emel itu dikirim oleh "tuan rumah." Tetapi akhirnya saya sedar emel itu dihantar oleh orang yang mahu saya meninggalkan esastera. Kabarnya emel seperti itu pernah diterima oleh ahli-ahli yang lain. Mungkinkah itu yang menjadi penyebab kenapa ramai ahli esastera yang menghilangkan diri?. Saya benar-benar berharap kepada "yang berkenaan" berhentilah dari perbuatan yang sesia itu kerana tidak ada faedahnya.

6.Adakah sdr berpendapat bahawa usaha-usaha esastera sudah memadai dari segi mengawal "keselamatan" komuniti dan keselamatan ahli-ahli kita? Jika belum, sila kemukakan cadangan tambahan.

Memang agak sukar hendak mengawal keselamatan komuniti dan ahli-ahli kerana dunia internet memudahkan sesiapa sahaja melakukan pelbagai cara serta boleh menyamar berbagai nama. Sebagai contoh seseorang itu boleh menggunakan nama lain bila hendak membuat onar. Walaupun begitu kita masih boleh mengesan melalui kata-kata atau jejak-jejak yang ditinggalkannya. Kerana itu usaha Founder untuk menapis kemasukan nama-nama baru amatlah dialu-alukan. Selain biodata elok juga disertakan gambar supaya mudah dikenali.
Memang benar laman web yang lain tidak pernah mengenakan syarat seperti itu namun esastera boleh memulakannya. Tambahan pula matlamat kewujudan esastera lebih jelas berbanding halaman web yang lain.

7.Mengapa sdr nampaknya aktif berkarya di internet sedangkan ada golongan penulis yang tidak percaya kepada medium ini?.

Sebagai penulis kita harus mencari ruang-ruang untuk menampung karya kita. Selain itu kita perlu mencari sesuatu yang boleh meransang untuk berkarya. Saya dapati internet boleh membantu ke arah itu. Selain dapat berkarya dan menyiarkannya untuk di kongsi baca dengan orang lain kita juga dapat bertemu dengan mereka yang punya minat yang sama di bidang penulisan.

8.Setelah menyertai esastera saya berasa proses kreatif semakin bercambah. Ransangan untuk berkarya semakin hebat. Kerana itu dalam masa setahun menyertai esastera saya berjaya menghasilkan berpuluh buah sajak, haiku, sajen dan cerpen.

Memang benar saya lebih banyak menyiarkan karya di internet berbanding di media cetak. Namun itu hanya sebagai langkah awal kerana matlamat tetap menjurus ke arah itu kerana semua karya yang tersiar di esastera akan dinilai dan jika sesuai akan diterbitkan dalam bentuk buku.
Mana-mana karya yang tidak terpilih akan saya kumpulkan sendiri dengan harapan akan diterbitkan suatu hari nanti. Sebagai contoh, cerita rakyat di ruangan cerpenis telah pun saya kumpulkan dan insya-Allah akan terbit tidak lama lagi dalam bentuk buku. Begitu juga dengan cerpen-cerpen yang tersiar akan saya kumpulkan supaya kelak diterbitkan dalam bentuk antologi. Kerana itu saya berpendapat penglibatan dalam berkarya di internet tidak sesia kerana ia membantu melahirkan karya saya.

8. Sebelum menjadi Adminsitrator bagi komuniti "Cerpenis", sdr telah dilantik sebagai Moderator bagi sebuah laman web lain. Boleh ceritakan?

Saya dipelawa oleh seorang kawan untuk menyertai sebuah lama web yang baru ditubuhkan lalu dilantik menjadi Moderator halaman cerpen/ novel dan bengkel penulisan. Kerana tidak mahu dikenali saya gunakan nama samaran tetapi baru-baru ini rahsia sudah terbongkar dan mereka sudah tahu siapa nama saya yang sebenar.
Kemudian Drirwan mempelawa saya untuk menjadi Administrator esastera. Kata Drirwan dalam emelnya, saya boleh pilih komuniti mana yang saya suka kecuali sajen, haiku dan poets. Saya memilih cerpenis kerana ruangan itu lebih sesuai dengan minat saya.
Saya beritahu Drirwan mengenai perlantikan sebagai Moderator di sebuah laman Web dan saya juga maklumkan kepada Shah Putra Founder laman web tersebut yang saya dilantik menjadi Administrator esastera. Saya gembira kerana kedua-dua Founder boleh menerimanya mungkin kerana tanggung jawab itu dibuat secara sukarela.

9. Adakah karya-karya sdr ditulis melalui pengalaman atau rekaan semata-mata?.

Setiap penulis apabila dia menghasilkan karya maka 60% dari kisah yang ditulisnya adalah pengalaman sendiri. Maksud pengalaman sendiri itu samaada dia mengalaminya sendiri, pengalaman orang lain yang pernah disampaikan kepadanya atau pengalaman melalui pembacaan. Pada saya karya yang ditulis melalui pengalaman sendiri itu lebih mengesankan.
Novel remaja "Bebaskan Aku" hasil dari pengalaman sendiri di zaman kanak-kanak. "Sesat Di Puncak Gunung Datuk dan Lembah Hijau" merupakan pengalaman sendiri yang pernah mendaki Gunung Datuk. Novel yang terbaru juga hasil pengalaman sendiri ketika berada di bumi kenyalang.

10. Adakah sdr mendapat pulangan kewangan yang berbaloi melalui tulisan-tulisan sdr?

Di bidang penulisan Novel, terus terang saya katakan tidak berbaloi pulangan kewangannya kerana kebanyakan novel yang saya hasilkan bukan "novel popular." Tambahan pula selalu dipermainkan oleh pihak pihak penerbit. Mungkin ada yang tidak percaya ada penerbit yang cuma membayar RM 300.00 sahaja untuk sebuah novel. Kononnya itu sebagai bayaran pendahuluan tetapi setelah lebih 5 tahun novel itu berada di pasaran saya tidak pernah mendapat apa-apa bayaran lagi.
Di bidang penulisan cerpen saya pernah dibayar sebuah cerpen hingga RM 1,000.00 (seribu ringgit kerana menang sayembara). Di bidang penulisan sajak pula pernah dibayar RM 250.00 sebuah sajak kerana menang sayembara.
Cuma di bidang penulisan skrip drama tv agak berbaloi kerana saya pernah diberi peluang menulis skrip drama bersiri dan di bayar setiap satu episod RM 500.00. Rasa berbaloii kerana saya boleh siapkan satu episod dalam masa 3 hari sahaja.
Antara bidang penulisan tersebut saya berasa lebih bahagia menulis novel kerana apabila sudah diterbitkan ia boleh dipegang, dibaca berulangkali, dijadikan hadiah dan koleksi untuk tatapan anak cucu akan datang. Berbanding skrip drama tv apabila telah ditayangkan ia akan dilupakan.

11. Sdr sedang menulis novel CBK. Adakah sdr menulisnya atas inisiatif sendiri atau atas pemintaan pihak tertentu? Bilakah dijangka siap? Siapakah yang akan menerbitkannya? Boleh sdr ceritakan sedikit tentang novel itu?

Saya menulis novel CBK itu atas inisiatif sendiri. Idea untuk menulisnya sudah lama cuma baru sekarang baru ada kekuatan untuk menulisnya. Novel yang masih dalam proses penulisan itu mengisahkan percintaan antara dua darjat yang banyak mendapat halangan. Namun akhirnya cinta yang sejati itu akan berakhir juga dengan kegembiraan. Tujuan saya menulis novel tersebut selain hendak merakamkan kenangan di Serawak saya juga ingin memperkenalkan masyarakat Iban kepada pembaca.
Sehingga kini saya telah menerbitkan 10 buah buku dan kali ini saya ingin menghasilkan novel yang lebih baik dari sebelumnya. Memang ada penerbit yang bersedia menerbitkan novel kisah cinta kerana boleh menarik hati pembaca namun apa yang penting saya hendak siapkan dulu novel tersebut kemudian baru difikirkan kepada penerbit mana yang hendak dihantar. Saya harap kali ini tidak kena tipu lagi.

12. Sebagai penulis yang agak berpengalaman, apakah sdr ada apa-apa nasihat kepada penulis muda?

Di esastera ramai penulis muda berbakat antaranya, Nimoizty, ghafirah idris, amiza khusyri, saleha Ahmad, MK Riza, MuhdNorizam, Ida Munira, tintasuka, ramy, airmas_sz, tareht, nilamsuri, fadh razi, wan azman, hasimah, alaieffa (sekadar menyebut beberapa nama) Nasihat saya kepada mereka rajinlah menulis dan gilaplah bakat yang ada. Anggaplah menulis itu sebagai satu tanggung jawab.
Dan lagi nasihat saya kepada yang mula mencipta kejayaan jangan cepat berasa puas hati dengan kejayaan awal. Sebaiknya jadikan kejayaan itu sebagai ransangan untuk lebih gigih untuk berkarya. sebagai penulis ada kalanya kita berasa gembira bila menang sayembara dan ada kalanya berasa sedih bila karya di bakul sampahkan.

13.Apakah pula nasihat sdr kepada penulis-penulis sastera di alam siber?

Menulis di alam siber seperti di esastera.com berbeza dengan menulis di alam nyata iaitu percetakan. Di alam siber kita boleh menyiarkan karya sendiri tanpa ditapis oleh editor. Samaada karya kita bermutu atau tidak pasti boleh disiarkan dan dibaca oleh orang lain. Berbeza di surat kabar atau majalah karya yang terbaik sahaja akan dipilih oleh editor untuk disiarkan.
Kerana itu jangan cepat berasa puas hati dengan karya yang kita siarkan. Seeloknya kita terus berusaha membaiki mutu karya kita dengan membuat perbandingan dengan karya penulis lain. Jika karya kita kena komen jangan mudah tersinggung sebaiknya jadikan sebagai pengajaran. Sebaliknya kalau karya kita tidak dipedulikan kita jangan berasa kecewa. Dan jangan lupa simpan karya tersebut kerana ia adalah harta kita. Mungkin suatu hari nanti kita boleh diterbitkan dalam bentuk buku.

14. Sdr begitu lincah dan nakal berbicara di esastera. Namun setelah bertemu muka dengan sdr sebanyak dua kali, saya berpendapat sdr sebenarnya seorang yang agak pendiam dan pemalu di alam nyata. Apa komen sdr?

Begitulah kata kawan-kawan, saya ini agak pendiam dan pemalu. Malah isteri saya sendiri pun kata begitu. Katanya, di rumah saya seorang yang periang dan suka bergurau. Tetapi bila di luar saya berubah watak jadi pendiam. Ini mungkin disebabkan latar belakang saya yang sering bersendirian. Kerana itu hanya bidang penulisan sebagai tempat meluah perasaan.
Kerana itu sesiapa yang pernah chating dengan saya tahulah betapa nakalnya saya mengusik hingga ada yang kata sakit perut ketawa bila membaca tulisan saya.

15. Di kalangan ahli keluarga sdr, adakah yang berminat menulis? Adakah di antara mereka yang menyertai esastera?

Anak-anak saya tidak minat menulis walaupun mereka ada bakat. Anak saya yang sulung semasa sekolah rendah pernah karyanya tersiar di majalah IBU. Tetapi bila sudah besar dia lebih minat di bidang perniagaan tambahan pula dia mengambil jurusan perniagaan. Anak yang nombor dua juga pernah tersiar cerita pendeknya di majalah dewan pelajar tetapi bila besar lebih minat dengan komputer. Anak yang nombor tiga, dia juga ada bakat menulis dan pernah naik pentas mendeklamasikan sajak dan pernah menjadi johan syarahan semasa di sekolah menengah. Tetapi kini dia lebih berminat di bidang sains kerana bercita-cita menjadi seorang pensyarah.
Saya selalu tunjukkan kepada mereka esastera.com. dan mereka juga kerap memasukinya tapi sekadar membaca sahaja. Semoga di suatu hari nanti mereka akan mengasah bakat di bidang penulisan.

16. Sdr telah menjadi mentor kepada sdr Shafiq Muslim. Adakah sdr masih menjadi mentornya? Adakah sdr mengenali siapa beliau sebenarnya?

Syafiq muslim?. Feelnya macam Tareht juga. Nakal dan suka berahsia. Selain Syafiq ada juga beberapa orang lagi mentor saya antaranya Alaieffa, Serindit dan Puteri Bayu. Kami cuma berkenalan di alam maya sahaja tetapi tidak pernah bertemu di alam nyata. Kecuali Alaieffa. Kami masih kerap berutus emel kadang-kadang mereka bukan sahaja hantar sajak untuk di semak malah ada kalanya meminta pandangan masalah peribadi.

17. Apa pengharapan sdr terhadap esastera?

Kewujudan esastera memang tepat pada masanya di mana bidang sastera mula mendapat tempat di alam siber. Kerana itu saya berpendapat esastera perlu dipertahankan kewujudannya kerana selain memberi peluang kepada penulis baru dan penulis lama untuk berkarya esastera juga membantu memperkayakan khazanah kesusasteraan tanah air kita. Apa yang penting esastera.com berusaha untuk memainkan peranannya dengan lebih aktif sebagai sebuah laman web sastera.
Semoga suatu hari nanti ada syarikat besar atau ahli korporat yang bertaraf jutawan sanggup menjadi penaja sayembara esastera.com. Ketika itu peranan esastera tentu lebih menyerlah lagi.

Sekian terima kasih.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan-soalan saya dengan telus dan jujur. Semoga sdr terus maju dalam karier sdr sebagai penulis.

Irwan Abu Bakar
Kuala Lumpur, 18.05.2004