Saturday, July 31, 2004

WAWANCARA 2

Sdra Abdullatip. Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk esastera. Banyak hal telah sdr ceritakan melalui wawancara dengan majalah Tunas Cipta yang telah sdr siarkan di esastera. Maka saya akan menumpukan soalan-soalan saya kepada isu-isu yang lebih dekat dengan esastera sendiri.

1. Bagaimana sdr berjumpa dengan esastera? Apa yang menyebabkan sdr menyertainya?

Saya mula berjinak dengan internet pada awal tahun 2000. Ketika itu saya lebih banyak menghabiskan masa di chat room. (berchating). Namun saya tidak mendapat apa-apa kepuasan malah tidak membantu proses penulisan kreatif saya.
Pada suatu hari, dalam tahun 2003, saya dah lupa tarikhnya, ketika menatap akhbar Berita Minggu saya terbaca sebuah artikel mengenai esastera berserta gambar Drirwan. Saya berasa tertarik hati untuk menyertainya kerana berkarya melalui internet adalah sesuatu yang baru kepada saya. Tambahan pula saya sudah lama tidak berkarya dengan harapan bila menyertai esastera akan memupuk semula semangat untuk menulis.
Selain itu sayembara yang diadakan oleh esastera juga menjadi daya tarikan kerana saya berpendapat usaha itu memberi ransangan kepada penulis untuk berkarya. Menang atau kalah perkara kedua. Yang pasti sayembara itu meransang saya menulis dan karya yang dihasilkan akan dinilai oleh mereka yang berwibawa. Selain itu dengan menyertai sayembara juga seseorang penulis dapat mengukur setakat mana mutu karya yang dihasilkan.

2. Kini sdr bolehlah dianggap sbg orang kuat esastera. Sdr menghabiskan banyak masa sdr di sini. Bolehkah sdr huraikan manfaat yang sdr peroleh?.

Saya ucapkan terima kasih kalau Drirwan menganggap saya sebagai orang kuat esastera. Selain saya sdr Arisel orang kuat di Sajen, sdr Airmas_sz orang kuat di poets, sdr Tintasukma orang kuat Mapan, sdr Dahrie orang kuat di berbicara dan sdr Damahum orang kuat di Haiku. Kita ibarat sebuah bangunan yang mana tugas kita saling kuat menguatkan.
Benar saya menghabiskan banyak masa di sini. Kekadang dalam sehari semalam saya masuk berkali-kali. Malah ada masanya saya boleh bertahan mengadap komputer sepanjang hari. Nasib baiklah isteri tak komplen kenapa saya lebih banyak menghabiskan masa mengadap komputer berbanding dia. Atau mungkin juga dia berasa lebih selamat saya memerap dalam bilik dari merayap di luar sana.
Kalau hendak dinilai manfaatnya di segi kewangan setakat ini memang tidak ada keuntungannya. Malah setiap bulan bil telefon dan internet melambung. Namun begitu, sebelum menyertai esastera pun bil dah melambung kerana asyik berchating…hahaha. Yang pasti bila menyertai esastera saya sudah boleh melupakan IRC..
Saya mendapat kepuasan berkarya apabila menyertai esastera kerana sendiri yang tulis dan sendiri yang siarkan. Lepas itu tunggu kalau ada komen dari kawan-kawan. Komen yang baik saya jadikan teladan manakala yang kurang baik dijadikan sempadan.
Manfaat lain yang saya perolehi kerana esastera meransang saya berkarya. Setiap kali melayari esastera seperti ada bisikan di hati untuk menulis apatah lagi bila mendapat galakan dari kawan-kawan. Kerana itu saya jadikan melayari laman web esastera sebagai hobi utama kerana bermanfaat kepada penulisan kreatif saya.

3. Ahli esastera datang dan pergi. Sdr nampaknya kekal bersama esastera untuk jangka yang agak lama. Sila komen.

Sejak mula menyertai esastera saya berharap akan menemui sesuatu yang baru serta dapat pula meningkatkan minat saya dibidang penulisan. Tambahan pula ketika itu sudah ada 3 orang kenalan iaitu Zainal Lasim, Sri Diah dan Alaieffa dan kami sering bertegur sapa di papan nota. Kemudian dari hari ke sehari kenalan saya semakin bertambah dan kini boleh dikatakan semua ahli sastera sudah saya kenali walaupun cuma di alam maya sahaja.
Setelah beberapa bulan menyertai esastera barulah timbul perasaan suka. atau lebih tepat " dah jatuh cinta." Memang benar ahli esastera datang dan pergi. Nama-nama yang dulunya selalu kelihatan di esastera kini sudah menyepi. Zainal lasim, sri diah dan alaieffa juga mula menyepi. Apakah kerana sibuk, sudah berasa jemu atau mungkinkah merajuk?.
Saya dapat bertahan untuk jangka yang agak lama kerana selalu saya sematkan di hati bahawa tujuan utama saya menyertai esastera hanya untuk berkarya. Samaada karya saya mendapat perhatian atau sebaliknya tidak menjadi masalah. Tambahan pula semua karya yang saya siarkan saya kumpulkan dengan harapan pada suatu hari nanti akan dapat diterbitkan. Dengan arti kata lain, saya tidak berasa rugi apa-apa kalau terus berada di sini.

4. Rasanya, karya sdr yang paling banyak dipindah keluar oleh Founder dari esastera ke "laman eksklusif". Apa komen sdr? Pernahkah sdr merajuk dengan esastera?.

Hahaha…memang benar antara ahli esastera yang karyanya selalu kena delete oleh Founder ialah karya saya kerana melanggar piawaian esastera. Kerana kerap kali kena delete sehingga ada yang kata "muka selalu kena delete". Nak buat macam mana kerana banyak idea "gila-gila" yang datang. Kadang-kadang ada kengkawan bercerita lalu saya jadikan sajen. Walaupun begitu saya cuma merapu dalam penulisan sajen sahaja.
Seingat saya tidak pernah merajuk dengan esastera. Cuma pernah bercuti rehat selama beberapa minggu. Puncanya begini, Suatu kali sajen saya kena delete oleh Founder. Sebelum itu sudah beberapa kali kena delete tapi saya tidak berasa hati sangat. Tetapi kali itu sudahlah kena delete, saya mendapat kiriman emel dari orang yang tak dikenali mengatakan " kalau nak merapu nyah dari esastera." Pada masa itu saya menyangka emel tersebut dikirim oleh tuan rumah. Bayangkan betapa terlukanya perasaan saya ketika itu…

5. Sebagai seorang yg sangat aktif di esastera, adakah sdr menerima emel-emel yang menghentam atau menyerang sdr secara peribadi?.

Memang benar saya pernah menerima kiriman emel layang dari orang yang tidak dikenali. Pada mulanya saya berasa agak sedih kerana menyangka emel itu dikirim oleh "tuan rumah." Tetapi akhirnya saya sedar emel itu dihantar oleh orang yang mahu saya meninggalkan esastera. Kabarnya emel seperti itu pernah diterima oleh ahli-ahli yang lain. Mungkinkah itu yang menjadi penyebab kenapa ramai ahli esastera yang menghilangkan diri?. Saya benar-benar berharap kepada "yang berkenaan" berhentilah dari perbuatan yang sesia itu kerana tidak ada faedahnya.

6.Adakah sdr berpendapat bahawa usaha-usaha esastera sudah memadai dari segi mengawal "keselamatan" komuniti dan keselamatan ahli-ahli kita? Jika belum, sila kemukakan cadangan tambahan.

Memang agak sukar hendak mengawal keselamatan komuniti dan ahli-ahli kerana dunia internet memudahkan sesiapa sahaja melakukan pelbagai cara serta boleh menyamar berbagai nama. Sebagai contoh seseorang itu boleh menggunakan nama lain bila hendak membuat onar. Walaupun begitu kita masih boleh mengesan melalui kata-kata atau jejak-jejak yang ditinggalkannya. Kerana itu usaha Founder untuk menapis kemasukan nama-nama baru amatlah dialu-alukan. Selain biodata elok juga disertakan gambar supaya mudah dikenali.
Memang benar laman web yang lain tidak pernah mengenakan syarat seperti itu namun esastera boleh memulakannya. Tambahan pula matlamat kewujudan esastera lebih jelas berbanding halaman web yang lain.

7.Mengapa sdr nampaknya aktif berkarya di internet sedangkan ada golongan penulis yang tidak percaya kepada medium ini?.

Sebagai penulis kita harus mencari ruang-ruang untuk menampung karya kita. Selain itu kita perlu mencari sesuatu yang boleh meransang untuk berkarya. Saya dapati internet boleh membantu ke arah itu. Selain dapat berkarya dan menyiarkannya untuk di kongsi baca dengan orang lain kita juga dapat bertemu dengan mereka yang punya minat yang sama di bidang penulisan.

8.Setelah menyertai esastera saya berasa proses kreatif semakin bercambah. Ransangan untuk berkarya semakin hebat. Kerana itu dalam masa setahun menyertai esastera saya berjaya menghasilkan berpuluh buah sajak, haiku, sajen dan cerpen.

Memang benar saya lebih banyak menyiarkan karya di internet berbanding di media cetak. Namun itu hanya sebagai langkah awal kerana matlamat tetap menjurus ke arah itu kerana semua karya yang tersiar di esastera akan dinilai dan jika sesuai akan diterbitkan dalam bentuk buku.
Mana-mana karya yang tidak terpilih akan saya kumpulkan sendiri dengan harapan akan diterbitkan suatu hari nanti. Sebagai contoh, cerita rakyat di ruangan cerpenis telah pun saya kumpulkan dan insya-Allah akan terbit tidak lama lagi dalam bentuk buku. Begitu juga dengan cerpen-cerpen yang tersiar akan saya kumpulkan supaya kelak diterbitkan dalam bentuk antologi. Kerana itu saya berpendapat penglibatan dalam berkarya di internet tidak sesia kerana ia membantu melahirkan karya saya.

8. Sebelum menjadi Adminsitrator bagi komuniti "Cerpenis", sdr telah dilantik sebagai Moderator bagi sebuah laman web lain. Boleh ceritakan?

Saya dipelawa oleh seorang kawan untuk menyertai sebuah lama web yang baru ditubuhkan lalu dilantik menjadi Moderator halaman cerpen/ novel dan bengkel penulisan. Kerana tidak mahu dikenali saya gunakan nama samaran tetapi baru-baru ini rahsia sudah terbongkar dan mereka sudah tahu siapa nama saya yang sebenar.
Kemudian Drirwan mempelawa saya untuk menjadi Administrator esastera. Kata Drirwan dalam emelnya, saya boleh pilih komuniti mana yang saya suka kecuali sajen, haiku dan poets. Saya memilih cerpenis kerana ruangan itu lebih sesuai dengan minat saya.
Saya beritahu Drirwan mengenai perlantikan sebagai Moderator di sebuah laman Web dan saya juga maklumkan kepada Shah Putra Founder laman web tersebut yang saya dilantik menjadi Administrator esastera. Saya gembira kerana kedua-dua Founder boleh menerimanya mungkin kerana tanggung jawab itu dibuat secara sukarela.

9. Adakah karya-karya sdr ditulis melalui pengalaman atau rekaan semata-mata?.

Setiap penulis apabila dia menghasilkan karya maka 60% dari kisah yang ditulisnya adalah pengalaman sendiri. Maksud pengalaman sendiri itu samaada dia mengalaminya sendiri, pengalaman orang lain yang pernah disampaikan kepadanya atau pengalaman melalui pembacaan. Pada saya karya yang ditulis melalui pengalaman sendiri itu lebih mengesankan.
Novel remaja "Bebaskan Aku" hasil dari pengalaman sendiri di zaman kanak-kanak. "Sesat Di Puncak Gunung Datuk dan Lembah Hijau" merupakan pengalaman sendiri yang pernah mendaki Gunung Datuk. Novel yang terbaru juga hasil pengalaman sendiri ketika berada di bumi kenyalang.

10. Adakah sdr mendapat pulangan kewangan yang berbaloi melalui tulisan-tulisan sdr?

Di bidang penulisan Novel, terus terang saya katakan tidak berbaloi pulangan kewangannya kerana kebanyakan novel yang saya hasilkan bukan "novel popular." Tambahan pula selalu dipermainkan oleh pihak pihak penerbit. Mungkin ada yang tidak percaya ada penerbit yang cuma membayar RM 300.00 sahaja untuk sebuah novel. Kononnya itu sebagai bayaran pendahuluan tetapi setelah lebih 5 tahun novel itu berada di pasaran saya tidak pernah mendapat apa-apa bayaran lagi.
Di bidang penulisan cerpen saya pernah dibayar sebuah cerpen hingga RM 1,000.00 (seribu ringgit kerana menang sayembara). Di bidang penulisan sajak pula pernah dibayar RM 250.00 sebuah sajak kerana menang sayembara.
Cuma di bidang penulisan skrip drama tv agak berbaloi kerana saya pernah diberi peluang menulis skrip drama bersiri dan di bayar setiap satu episod RM 500.00. Rasa berbaloii kerana saya boleh siapkan satu episod dalam masa 3 hari sahaja.
Antara bidang penulisan tersebut saya berasa lebih bahagia menulis novel kerana apabila sudah diterbitkan ia boleh dipegang, dibaca berulangkali, dijadikan hadiah dan koleksi untuk tatapan anak cucu akan datang. Berbanding skrip drama tv apabila telah ditayangkan ia akan dilupakan.

11. Sdr sedang menulis novel CBK. Adakah sdr menulisnya atas inisiatif sendiri atau atas pemintaan pihak tertentu? Bilakah dijangka siap? Siapakah yang akan menerbitkannya? Boleh sdr ceritakan sedikit tentang novel itu?

Saya menulis novel CBK itu atas inisiatif sendiri. Idea untuk menulisnya sudah lama cuma baru sekarang baru ada kekuatan untuk menulisnya. Novel yang masih dalam proses penulisan itu mengisahkan percintaan antara dua darjat yang banyak mendapat halangan. Namun akhirnya cinta yang sejati itu akan berakhir juga dengan kegembiraan. Tujuan saya menulis novel tersebut selain hendak merakamkan kenangan di Serawak saya juga ingin memperkenalkan masyarakat Iban kepada pembaca.
Sehingga kini saya telah menerbitkan 10 buah buku dan kali ini saya ingin menghasilkan novel yang lebih baik dari sebelumnya. Memang ada penerbit yang bersedia menerbitkan novel kisah cinta kerana boleh menarik hati pembaca namun apa yang penting saya hendak siapkan dulu novel tersebut kemudian baru difikirkan kepada penerbit mana yang hendak dihantar. Saya harap kali ini tidak kena tipu lagi.

12. Sebagai penulis yang agak berpengalaman, apakah sdr ada apa-apa nasihat kepada penulis muda?

Di esastera ramai penulis muda berbakat antaranya, Nimoizty, ghafirah idris, amiza khusyri, saleha Ahmad, MK Riza, MuhdNorizam, Ida Munira, tintasuka, ramy, airmas_sz, tareht, nilamsuri, fadh razi, wan azman, hasimah, alaieffa (sekadar menyebut beberapa nama) Nasihat saya kepada mereka rajinlah menulis dan gilaplah bakat yang ada. Anggaplah menulis itu sebagai satu tanggung jawab.
Dan lagi nasihat saya kepada yang mula mencipta kejayaan jangan cepat berasa puas hati dengan kejayaan awal. Sebaiknya jadikan kejayaan itu sebagai ransangan untuk lebih gigih untuk berkarya. sebagai penulis ada kalanya kita berasa gembira bila menang sayembara dan ada kalanya berasa sedih bila karya di bakul sampahkan.

13.Apakah pula nasihat sdr kepada penulis-penulis sastera di alam siber?

Menulis di alam siber seperti di esastera.com berbeza dengan menulis di alam nyata iaitu percetakan. Di alam siber kita boleh menyiarkan karya sendiri tanpa ditapis oleh editor. Samaada karya kita bermutu atau tidak pasti boleh disiarkan dan dibaca oleh orang lain. Berbeza di surat kabar atau majalah karya yang terbaik sahaja akan dipilih oleh editor untuk disiarkan.
Kerana itu jangan cepat berasa puas hati dengan karya yang kita siarkan. Seeloknya kita terus berusaha membaiki mutu karya kita dengan membuat perbandingan dengan karya penulis lain. Jika karya kita kena komen jangan mudah tersinggung sebaiknya jadikan sebagai pengajaran. Sebaliknya kalau karya kita tidak dipedulikan kita jangan berasa kecewa. Dan jangan lupa simpan karya tersebut kerana ia adalah harta kita. Mungkin suatu hari nanti kita boleh diterbitkan dalam bentuk buku.

14. Sdr begitu lincah dan nakal berbicara di esastera. Namun setelah bertemu muka dengan sdr sebanyak dua kali, saya berpendapat sdr sebenarnya seorang yang agak pendiam dan pemalu di alam nyata. Apa komen sdr?

Begitulah kata kawan-kawan, saya ini agak pendiam dan pemalu. Malah isteri saya sendiri pun kata begitu. Katanya, di rumah saya seorang yang periang dan suka bergurau. Tetapi bila di luar saya berubah watak jadi pendiam. Ini mungkin disebabkan latar belakang saya yang sering bersendirian. Kerana itu hanya bidang penulisan sebagai tempat meluah perasaan.
Kerana itu sesiapa yang pernah chating dengan saya tahulah betapa nakalnya saya mengusik hingga ada yang kata sakit perut ketawa bila membaca tulisan saya.

15. Di kalangan ahli keluarga sdr, adakah yang berminat menulis? Adakah di antara mereka yang menyertai esastera?

Anak-anak saya tidak minat menulis walaupun mereka ada bakat. Anak saya yang sulung semasa sekolah rendah pernah karyanya tersiar di majalah IBU. Tetapi bila sudah besar dia lebih minat di bidang perniagaan tambahan pula dia mengambil jurusan perniagaan. Anak yang nombor dua juga pernah tersiar cerita pendeknya di majalah dewan pelajar tetapi bila besar lebih minat dengan komputer. Anak yang nombor tiga, dia juga ada bakat menulis dan pernah naik pentas mendeklamasikan sajak dan pernah menjadi johan syarahan semasa di sekolah menengah. Tetapi kini dia lebih berminat di bidang sains kerana bercita-cita menjadi seorang pensyarah.
Saya selalu tunjukkan kepada mereka esastera.com. dan mereka juga kerap memasukinya tapi sekadar membaca sahaja. Semoga di suatu hari nanti mereka akan mengasah bakat di bidang penulisan.

16. Sdr telah menjadi mentor kepada sdr Shafiq Muslim. Adakah sdr masih menjadi mentornya? Adakah sdr mengenali siapa beliau sebenarnya?

Syafiq muslim?. Feelnya macam Tareht juga. Nakal dan suka berahsia. Selain Syafiq ada juga beberapa orang lagi mentor saya antaranya Alaieffa, Serindit dan Puteri Bayu. Kami cuma berkenalan di alam maya sahaja tetapi tidak pernah bertemu di alam nyata. Kecuali Alaieffa. Kami masih kerap berutus emel kadang-kadang mereka bukan sahaja hantar sajak untuk di semak malah ada kalanya meminta pandangan masalah peribadi.

17. Apa pengharapan sdr terhadap esastera?

Kewujudan esastera memang tepat pada masanya di mana bidang sastera mula mendapat tempat di alam siber. Kerana itu saya berpendapat esastera perlu dipertahankan kewujudannya kerana selain memberi peluang kepada penulis baru dan penulis lama untuk berkarya esastera juga membantu memperkayakan khazanah kesusasteraan tanah air kita. Apa yang penting esastera.com berusaha untuk memainkan peranannya dengan lebih aktif sebagai sebuah laman web sastera.
Semoga suatu hari nanti ada syarikat besar atau ahli korporat yang bertaraf jutawan sanggup menjadi penaja sayembara esastera.com. Ketika itu peranan esastera tentu lebih menyerlah lagi.

Sekian terima kasih.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan-soalan saya dengan telus dan jujur. Semoga sdr terus maju dalam karier sdr sebagai penulis.

Irwan Abu Bakar
Kuala Lumpur, 18.05.2004

WAWANCARA BERTULIS 1

WAWANCARA BERTULIS DENGAN SAUDARA ZAHARUDIN ABD RAHMAN EDITOR MAJALAH TUNAS CIPTA DBP

SOALAN
1. Boleh ceritakan sedikit asal usul keluarga Sdr?
Ayah saya Haji Talib Ghani, lahir di Pulau Pinang tetapi kini menetap di Singapura. Dulu ayah saya berkerja sebagai tentera British dan berkhidmat di Singapura. Apabila Singapura berpisah dengan Malaysia ayah saya menjadi warga negara tersebut. (Singapura).

ibu saya Ipeh Ujang berasal dari Rembau Negeri Sembilan. Ayah mengahwini ibu saya sebagai isteri kedua (bermadu) dan mereka telah berpisah ketika saya masih dalam kandungan. Di Negeri Sembilan saya mempunyai 4 orang adik beradik (satu ibu) , 3 lelaki dan 1 perempuan. Di Singapura pula saya mempunyai 10 orang adik beradik (satu bapa) 5 lelaki dan 5 perempuan.

2. Apakah minat/hobi Sdr.

Selain menulis dan membaca saya minat berkebun. Saya suka menanam pokok buah-buahan. Berbudi kepada tanah memang tidak sia-sia. Tambahan pula rumah saya terletak di kawasan pedalaman di daerah Jelebu yang terkenal dengan tanahnya yang sesuai untuk pokok buah-buahan. Kerana itu di keliling rumah saya terdapat pokok rambutan, manggis, langsat, durian, cempedak dan sebagainya. Saya juga ada 2 ekar dusun buah-buahan dan beberapa hektar ladang getah yang kini menjadi sumber pendapatan saya. Sejak saya bersara pilihan ketika berusia 45 tahun, saya ada banyak masa untuk menumpukan perhatian kepada minat/hobi ini.

Saya juga suka mengadakan bengkel atau kursus penulisan di Jelebu yang bertujuan untuk memberi pendedahan,bimbingan serta mencungkil bakat baru di bidang penulisan. Saya juga dilantik menjadi pengarang kehormat persatuan sejarah malaysia cawangan Jelebu dan ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) sejak tahun 1990. Saya juga dilantik menjadi Administrator www.esastera.com/cerpenis sebuah majalah sastera internet yang dikendalikan oleh Profesor Dr Irwan Abu Bakar. Dengan itu dapatlah saya teruskan minat menulis disamping memberi bimbingan dan berkongsi pengalaman dengan mengulas cerpen-cerpen sajak-sajak yang disiarlan oleh ahli-ahli di laman web tersebut.

3.Sdr. boleh ceritakan pengalaman yang boleh dikongsi dengan para remaja sekarang?

Saya yakin masa depan seseorang bergantung kepada usaha yang dilakukan oleh individu itu sendiri. Ini bersesuainan dengan firman Allah swt yang bermaksud, Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan mereka sendiri yang berusaha untuk mengubahnya. Kerana itu walau kita lahir di kota atau desa, dari keluarga kaya atau miskin, nasib kita ditentukan oleh usaha yang kita lakukan.

Semasa kecil saya bukanlah dari keluarga yang kaya. Ayah dan ibu berpisah sejak saya masih dalam kandungan. Ibu pula kerja kampung dengan pendapatan tidak menentu. Walaupun begitu saya bersyukur kerana dapat juga meneruskan persekolahan hingga ke tingkatan enam atas (STPM).

Semasa menunggu keputusan peperiksaan STPM, saya melakukan berbagai jenis pekerjaan seperti menjadi jurujual, kerja kilang, pengawal keselamatan bank dan akhirnya bekerja sebagai penyelia tanah rancangan Felcra sehingga menjawat jawatan pengurus ketika bertugas di Serawak. Kerana kesusahan hidup pada masa itu saya lupakan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti walaupun mendapat keputusan yang agak baik dalam peperiksaan. Tambahan pula bila sudah berkerja dan ada duit dalam tangan maka minat untuk menyambung pelajaran pun hilang…

4.Bagaimanakan gaya hidup yang Sdr. idamkan?

Kesusahan semasa kecil mengajar saya arti sebuah kehidupan dan mendidik saya supaya hidup secara sederhana. Saya juga yakin bahawa kebahagiaan hidup bukan hanya bergantung kepada kemewahan harta benda sahaja. yang kita perlukan ialah kasih sayang, hormat menghormati dan bersikap jujur dalam pergaulan.

Hingga sekarang saya masih mengekalkan cara hidup yang sederhana. Rumah yang saya diami cuma sebuah rumah kampung yang sederhana besarnya. kereta yang saya pakai juga sebuah kereta yang amat sederhana. Walaupun begitu saya berasa bersyukur kerana sudah 2 kali menunaikan ibadat haji ke tanah suci mekah.Dan kesemua anak-anak saya mendapat pendidikan hingga ke peringat IPT.

5. Siapakah tokoh tempatan yang paling Sdr. kagumi?

Saya mengagumi semua tokoh tempatan. Namun kalau di bidang persuratan, tokoh yang paling saya kagumi ialah pendita Zaaba. Di bidang kesusasteraan pula saya kagum dengan Pak Sako. Selain itu saya juga mengagumi kesemua sasterawan negara.
Di bidang politik pula tokoh yang saya kagumi ialah Datuk Abdullah Badawi (PM) , Datuk Dr Rais Yatim dan Ustaz Haji Hadi Awang..

6. Apakah perkara yang Sdr. cuba elakkan dalam hidup?

Dalam hidup ini yang paling saya cuba elakkan ialah bergaduh atau tidak bertegur sapa dengan sesiapa sahaja terutama ahli keluarga dan saudara mara. Dunia ini terasa sempit kalau kita bermusuhan. Selain itu saya juga cuba elakkan buruk sangka terhadap orang lain. Saya juga cuba elakkan buruk sangka orang lain terhadap diri saya. Selain itu Saya berusaha mengelakkan diri dari mendapat penyakit yang kronik. Namun sebagai manusia biasa kita cuma boleh berusaha. Tetapi takdir Allah swt yang menentukan segalanya.

7. Bagaimana Sdr. mengawal diri dalam keadaan tertekan?

Semasa berkerja makan gaji dahulu, saya memang selalu berada dalam keadaan tertekan tambahan pula tugas sebagai seorang pengurus tanah rancangan banyak terlibat dengan karenah peserta. Semasa saya bertugas di Serawak dalam tahun 1997, paling teruk menghadapi tekanan perasaan kerana terasa diri ini jauh di rantau orang tambahan pula anak-anak isteri tinggal di kampung. ketika itu bila dalam keadaan tertekan saya mengawal diri dengan mengurung diri dalam rumah sendirian dengan membaca buku, menonton tv atau sebagainya.

Tetapi sekarang apabila sudah bersara dan berkerja sendiri saya rasa tekanan itu sudah tidak ada lagi. Kalau adapun tekanan itu berpunca dari dalam diri sendiri. Dan untuk mengawalnya saya sibukkan diri dengan melakukan berbagai kerja di ladang atau di dusun buah-buahan. Kalau di rumah saya sibukkan dengan membaca atau menulis. Namun cara yang paling baik untuk mengawal diri dari tekanan ialah dengan beramal ibadat Masjid adalah tempat yang paling mendamaikan.

8. Apakah cita-cita Sdr. yang masih belum dicapai?

Semasa belajar dahulu saya bercita-cita hendak melanjutkan pelajaran hingga ke Universiti namun cita-cita itu tidak kesampaian. Sebagai seorang penulis Saya bercita-cita hendak melahirkan sebuah karya agung yang boleh diterima hingga ke peringakt antara bangsa. Namun sehingga kini cita-cita itu masih belum tercapai. Sebagai seorang ayah ingin melihat anak-anak saya berjaya dalam hidup tetapi hingga kini masih belum tercapai kerana mereka masih belajar. Dan sebagai seorang muslim saya bercita-cita hendak masuk ke Syurga.

9. Boleh ceritakan rutin harian Sdr?

Biasanya saya bangun dari tidur jam 6 pagi dan selepas solat subuh saya membaca atau menulis. Selepas sarapan pagi saya ke ladang getah atau ke dusun buah-buahan. Dan saya mesti balik ke rumah sebelum waktu zohor. Selepas solat dan makan tengah hari saya berehat atau tidur. Waktu petang biasanya saya tidak ke mana-mana. Ketika itu saya akan menulis / membaca atau menonton tv.

Waktu Maghrib selalunya berada di masjid. Selepas Isyak baru pulang ke rumah. Selepas makan malam saya sambung kerja menulis / membaca atau menonton tv.

Namun begitu, sebagai anggota masyarakat yang hidup di kampung, saya mesti menghadirkan diri apabila ada jiran tetangga yang mengadakan majlis kenduri, sakit, kematian atau sebagainya. Ketika itu rutin harian saya akan berubah.
Selalunya saya tidur jam 12 malam atau paling lewat jam 2 pagi kerana esoknya akan bangun pada jam 6 pagi.

10. Apakah perkara yang Sdr. suka dan yang Sdr. tak suka?

Saya suka perkara yang positif dan tidak suka yang negatif. Suka hidup berbaik-baik terutama dengan ahli keluarga, jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai. Saya tidak suka bertengkar apatahlagi bergaduh. Kalau saya tahu mereka tak sukakan saya biasanya saya akan menjauhkan diri. Saya suka mereka yang jujur, tidak menipu dan merendah diri. Dan perkara yang saya tak suka, yang sebaliknya.

Saya suka suasana yang tenteram, damai dan indah. Saya tak suka suasana yang hiruk pikuk kerana boleh menyakitkan kepala saya. Kerana itu barangkali saya lebih selesa duduk seorang diri dalam bilik untuk berehat, membaca atau menulis. Saya agak kaku bila berada dalam majlis keramaian. Saya suka menonton tv tapi tak suka tengok wayang.

Makanan yang Saya suka masak lemak cili api, masakan Negeri Sembilan. Minuman yang saya suka air mineral sahaja. saya tak suka minuman yang manis bukan kerana penyakit tetapi kerana sudah menjadi kebiasaan. Seperkara lagi, saya lebih suka bersarapan pagi dan makan di rumah dan tidak suka makan di kedai kecuali kalau berjalan jauh.

11. Benarkah suasana sekeliling boleh mempengaruhi peribadi kita?

Saya yakin suasana sekeliling banyak mempengaruhi peribadi kita. Contohnya, suasana di kampung yang tenang damai mempengaruhi peribadi kita untuk bersikap lebih tenang dan sabar. Sebaliknya suasana di bandar yang hiruk pikuk dengan manusia dan kenderaan yang bertali arus menyebabkan seseorang itu jadi lebih agresif. Selain itu seseorang yang dilahirkan dari keluarga yang porak peranda dan terbiar lebih terdedah kepada perlakuan yang tidak bermoral. Anak-anak yang jadi mangsa penderaan pula lebih mempengaruhi sikapnya menjadi ganas. Sebaliknya suasana keliling yang baik akan membentuk peribadi yang baik.

12. Adakah anak-anak banyak mempengaruhi kehidupan Sdr. sekarang?

Memang saya akui anak-anak banyak mempengaruhi kehidupan saya sejak dulu sampai sekarang. Ini disebabkan mereka orang yang paling dekat dalam kehidupan saya. Malah saya anggap anak-anak adalah harta yang paling berharga. Kerana itu saya utamakan kepentingan mereka dari yang lain. Contohnya disegi perbelanjaan, saya utamakan kepentingan mereka dahulu. Tambahan pula Kesemua anak-anak saya sekarang sedang belajar di IPT. Mereka mengajar saya berjimat cermat ketika berbelanja. Paling saya takut apabila mereka minta duit untuk perbelanjaan pelajaran saya berkata “duit tak ada”.


13. Bagaimana Sdr. mengurus kesihatan sama ada mental dan fizikal?

Kesihatan mental dan fizikal merupakan perkara yang penting dalam kehidupan. Kerana itu saya berusaha menguruskan dengan sebaik-baiknya. Untuk menjaga kesihatan badan saya menjaga makanan dan minuman. Saya tidak merokok dan tidak pernah mengambil minuman keras. Saya suka makan ulam dan sayuran kampung. Minuman saya cuma air miniral atau air suam sahaja. Malah semasa bersarapan pagi pun saya mengambil minuman yang sama. Saya tidak suka minuman yang manis. Bukan kerana pantang atau penyakit tetapi sudah jadi kebiasaan.

Untuk menjaga kesihatan badan juga , saya amalkan senaman (bukan joging) yang diajarkan oleh arwah datok saya. Senaman itu di buat selepas bangun dari tidur tidak payah keluar memadai dalam bilik tidur sahaja. selain itu saya amalkan minum manisan lebah dan minum air akar kayu. Untuk mengelurkan peluh saya tidak perlu berjoging memadai dengan bekerja di kebun sahaja.

Untuk menguruskan kesihatan mental, saya suka mencari ketenangan dengan cara yang tersendiri. Saya suka dengan suasana kampung yang tenang damai. Paling saya suka bila berada di dusun atau ladang getah kerana suasanya menenangkan. Fikiran jadi tenang bila melihat pokok yang subur menghijau dan menghirup udara yang segar.

14. Mana yang Sdr. pilih, hidup di kampung dengan hidup di bandar?

Saya lahir di kampung, membesar di kampung, mendapat pendidikan di kampung malah berkerja pun di kampung. Kerana itu saya lebih suka hidup di kampung berbanding hidup di bandar. Sesekali saya pergi juga ke kuala lumpur atas beberapa urusan atau pergi ke singapura menziarahi adik beradik disana. Namun saya tidak betah tinggal di bandar. Paling lama sehari dua lepas itu saya mesti balik semula ke kampung.
Saya sedar di bandar banyak peluang untuk memperoleh kejayaan namun saya tidak punya cita-cita yang besar cuma ingin hidup tenang bersama keluarga dan jiran tetangga.

15. Manakah yang paling susah, melahirkan seorang pemimpin dengan seorang penulis?

Pada pendapat saya melahirkan seorang pemimpin lebih mudah daripada melahirkan seorang penulis. Sebagai contoh, 100 orang yang mengikuti bengkel penulisan, yang jadi penulis mungkin seorang dua sahaja. Begitu juga setiap tahun beribu pelajar jurusan sastera keluar dari universiti namun tidak ramai yang jadi penulis. Untuk menjadi penulis kita perlukan bakat, minat dan kesungguhan.
Pemimpin boleh dilahirkan dalam masa yang sengkat tetapi untuk melahirkan penulis mengambil masa yang agak lama.

BIODATA

Abdul Latip bin Talib dilahirkan pada 2 June 1954 di Rembau Negeri Sembilan. Mendapat pendidikan hingga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Pernah bertugas sebagai Pengurus Tanah Felcra di Serawak. Kini bersara pilihan dan berkerja sendiri.

Mempunyai seorang isteri, Tengku Nazirah Tengku Alias dan 3 orang anak, Muhammad Syukri, 24 tahun, Muhammad Shakirin, 23 tahun dan Norfaizin, 21 tahun. Kesemua mereka sedang menuntut di IPTA.
Mula berminat di bidang penulisan ketika berada dalam tingkatan empat dan ketika itu cerita pendek banyak disiarkan dalam akhbar Utusan Pelajar ruangan Taman Sains yang dikelolakan oleh Pak Mat Lob.

Menulis secara aktif pada tahun 1990. Karya berbentuk cerpen banyak tersiar di akhbar Utusan Melayu jawi. Manakala novel remaja diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka, Utusan Publication & Distributers, karangkraf dan Estiew Publications.

Antara karya :

Antologi Cerpen Persendirian
Kebenaraan DBP 2001

Antologi Cerpen Bersama
Pilihan Hatiku (DBP 1993)
Wira Kemerdekaan (DBP 1993)
Nota-Nota Yang Lusuh (DBP 1991)
Mawar Di Pusara (DBP 1990)
Embun Hidayah (DBP 1991)
Syahdu (DBP 1993)
Calar Mimpi ( DBP 1999)
Bukan Mimpi Terakhir (DBP 1999)
Warisan (Jabatan Perpaduan Negara 1995)
Kalung Perpaduan (Jabatan Perpaduan Negara 1996)
Diluar Sangkar Emas (Fajar bakti 1997)
Susu Dibalas Tuba (Eastview 1994)
Di sini kasih Tumpah (Fajar Bakti 1993)
Dinding, Cermin, Nur (Utusan publications 2001)

Antologi Puisi bersama
Jika kau Rindu (DBP 1988)
Gema Serunai hati 4 (Koppen 1999)

Novel Remaja
Bebaskan Aku (Utusan Publications &
Distributers 1991)
Anak Rimba (Utusan Publications & Distributers
1996)
Pendekar Siamang Gagap (Utusan Publications
1999)
Istana Menanti (Utusan Publications &
Distributer 1999)
Darah Jempol ( Eastview 1998)
Nadia Farhana (Eastview 1999)
Lembah Hijau (DBP 1992)
Merentas Ranjau (DBP 1995)
Bejat (Karangkraf 1999)
Sesat Di Puncak Gunung Datuk (DBP 1997)

Anugerah/Penghargaan
Hadiah Sastera Berunsur Islam 111
(1991)
Hadiah Sastera Berunsur Islam 1V (1993)
Sayembara cerpen perpaduan (1996)
Sayembara cerpen perpaduan (1997)
Hadiah Sastera Utusan (2001)
Sayembara Cerpen Negeri Sembilan 2003
Sayembara Puisi Negeri Sembilan 2003.






Friday, July 30, 2004

ASSALAMUALAIKUM...

Dipaparkan Wawancara yang telah saya lakukan.